KUALA LUMPUR – Usaha mendapatkan semula sebanyak mungkin wang rakyat perlu diteruskan susulan masalah kewangan FELDA yang menyebabkan kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion setahun selama 10 tahun bagi membantu pembayaran hutang agensi itu, kata Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang juga Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri itu berkata, rakyat berhak mengetahui jumlah wang yang boleh diperoleh semula serta perubahan pengurusan yang dilaksanakan bagi mengelakkan masalah sama berulang.
“Jadi, sekarang rakyat patut tahu dua benda. Berapa banyak duit yang boleh kita dapat balik dan apa yang FELDA dah ubah supaya benda macam ini tak berlaku lagi.
“Kalau ada sesiapa yang melakukan kesalahan, kita biarkan mahkamah tentukan. Tapi, wang rakyat yang dah keluar, kita kena usaha dapatkan semula sebanyak yang boleh,” katanya menerusi video yang dimuat naik di media sosialnya.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan mula menyalurkan RM990 juta setahun pada 2023 untuk tempoh 10 tahun bagi membantu FELDA membayar semula hutangnya.
Komitmen itu bersamaan RM9.9 bilion sepanjang tempoh berkenaan, atau hampir RM10 bilion.
Beliau berkata, jumlah tersebut perlu dilihat dalam konteks wang rakyat yang turut diperlukan untuk membiayai sekolah, klinik, jalan raya dan pelbagai bentuk bantuan.
“Sebab itu, jangan anggap apa yang berlaku pada FELDA dahulu sebagai cerita lama yang tak ada kena mengena dengan kita. Kesannya, masih kita tanggung hari ini,” katanya.
Dengan merujuk Kertas Putih FELDA 2019, Tengku Zafrul berkata jumlah pinjaman agensi itu meningkat daripada sekitar RM100 juta kepada RM12.1 bilion menjelang 2017.
Beliau turut mengaitkan perkembangan kewangan berkenaan dengan perubahan besar yang berlaku selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 2012, ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
Menurut angka yang dipetiknya, FELDA merekodkan kerugian RM2 bilion pada 2013, diikuti RM1 bilion pada 2014, RM1.1 bilion pada 2015, RM700 juta pada 2016 dan RM4.9 bilion pada 2017.
“Lima tahun berturut-turut rugi. Kertas Putih FELDA sendiri merekodkan prestasi kewangan FELDA mula terjejas selepas penyenaraian FGV.
“Tahun 2013, pendapatan FELDA jatuh dengan ketara dan kerugian berterusan sehingga 2017,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masalah itu bukan berpunca daripada FGV semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pembelian aset dan pelaburan tidak strategik serta kelemahan pengurusan yang dibangkitkan dalam Kertas Putih berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, dapatan Kertas Putih FELDA 2019 masih relevan untuk diteliti, khususnya ketika kes berkaitan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak kembali mendapat perhatian.
Tengku Zafrul turut menyentuh pendakwaan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Investment Corporation (FIC) dan bekas Pengarah Besar FELDA, sambil menegaskan kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Beliau berkata, proses mahkamah perlu diberikan ruang untuk menentukan sama ada mereka bersalah atau sebaliknya.
Sebagai latar belakang, bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad pada 30 September didakwa berhubung dakwaan memperdaya Lembaga Pengarah FELDA berkaitan surat kuasa wakil bagi penukaran hak milik 16 bidang tanah agensi itu di Jalan Semarak pada 2014. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Tengku Zafrul menegaskan isu kewangan FELDA mempunyai kesan kepada seluruh rakyat kerana beban hutang akibat kelemahan pengurusan akhirnya perlu ditanggung melalui kewangan negara.
“Sebab akhirnya, ini bukan isu FELDA sahaja. Bila pengurusan bermasalah dan hutang berbilion yang ditinggalkan, bukan bos FELDA yang tanggung. Akhirnya, rakyat juga yang kena tanggung,” katanya.



