KUALA LUMPUR – Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang kalah dalam pemilihan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru, 20 April lalu tetap dengan pendirian mempertahankan kemenangannya kerana mendakwa mempunyai bukti.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, ini berdasarkan keputusan tidak rasmi dengan 949 undi yang diumumkan adalah dipandu dengan Borang 14, senarai nama undian dan ejen mengundi yang cekap sepanjang pemilihan.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, tindakan tersebut mendapat kebenaran Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk calon membuka tempat berkumpul bagi melancarkan proses pengundian penyokong pasukannya.
“Ingin ditekankan, pengundian bagi Pemilihan Cabang PKR adalah sama sekali tidak sama dengan PRU (Pilihan Raya Umum). Tempat berkumpul yang dibenarkan ini dikawal sepenuhnya untuk penyokong kami datang dan mengundi.
“Apabila banyak keraguan yang timbul (pemilihan Cabang lain) sebelum tiba giliran Cabang Johor Bahru mengundi, jentera dan anggota yang menyokong telah memberi kerjasama sepenuhnya dengan kerelaan supaya bukti undian mereka disimpan sebagai rekod,” lapor MalaysiaGazette di Johor.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru di Sekolah Kebangsaan Taman Suria di Johor Bahru.
Kelmarin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail yang juga Ketua Cabang PKR Johor Bahru yang baharu dilaporkan berkata, bantahan dibuat Akmal itu tidak berasas.
Mohamad Taufiq meminta Akmal yang juga bekas Ketua Cabang PKR Johor Bahru untuk berlapang dada dan menerima keputusan akar umbi susulan kekalahan pemilihan tersebut.
Ahad lalu, Akmal tewas mengejut di tangan Mohamad Taufiq.
Berdasarkan laman sesawang keputusan Pemilihan PKR 2025, Akmal hanya mampu meraih 587 undi manakala memperoleh 709 undi.
Akmal memberitahu, pengumuman angka atau keputusan tidak rasmi bukanlah satu perkara yang janggal dalam mana-mana pilihan raya.
Sebagai contoh, katanya, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning semalam, kemenangan melalui keputusan tidak rasmi telah diumumkan seawal 8.30 malam walaupun keputusan rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya dikeluarkan satu jam selepas itu.
Tambahnya, Akuan Berkanun (SD) yang dibuat turut mengesahkan kesahihan dokumen bukti yang dikumpulkan pasukannya.
“Kesemua dokumen bukti ini termasuklah Borang 14, senarai tandatangan penyokong serta kompilasi tangkapan layar (screenshot) berkaitan.
“SD ini diwujudkan bagi memastikan bukti dokumen dan keterangan saksi boleh diterima dalam mana-mana prosiding atau siasatan, menurut Akta Akuan Berkanun 1960,” ujar Akmal.