KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi amaran keras supaya jangan sesekali mencabar ketegasan Kerajaan Pahang dalam kes pencerobohan tanah haram di negeri itu.
Tegas beliau, kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan, ugutan atau helah pihak tidak bertanggungjawab sama ada individu atau berkumpulan.
“Kerajaan negeri bersama agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat operasi pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.
“Kita akan pastikan tanah kerajaan dimanfaatkan untuk pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan segelintir yang tamak dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada penggulungan titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 lapor BH pada Khamis.
Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri tidak akan sesekali berkompromi mana-mana pihak yang cuba menceroboh tanah milik kerajaan yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencabuli kedaulatan dan maruah pentadbiran negeri.
Justeru, kerajaan negeri akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan setiap inci tanah diceroboh secara haram diambil kembali dan dipulihkan semula.
Wan Rosdy berkata, sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019, sejumlah 23 operasi pemusnahan dijalankan membabitkan kawasan seluas 1,362 hektar.
Katanya, lima lagi operasi tambahan dirancang untuk dilaksanakan tahun ini.
“Bermula 2023, tindakan diambil untuk mendakwa penceroboh ke muka pengadilan dan tidak lagi hanya mengenakan kompaun seperti sebelumnya.
“Beberapa kes pencerobohan sudah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda melebihi RM100,000.
“Tindakan ini bukan bertujuan memalukan sesiapa, tetapi sebagai peringatan dan pengajaran bahawa kerajaan negeri amat serius dalam menangani isu ini secara menyeluruh,” katanya.