Rohingya jadi tekong darat bawa masuk PATI – polis Kelantan

KUALA LUMPUR – Polis Kelantan mengesahkan terdapat dalam kalangan etnik Rohingya, terutama yang sudah lama menetap di negara ini, berperanan sebagai tekong darat bagi membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata perkara itu disahkan berdasarkan tangkapan yang dilakukan pihaknya membabitkan etnik Rohingya di negeri berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah etnik Rohingya yang ditangkap kerana terbabit sebagai tekong darat.

Berdasarkan rekod tahun lalu dan lima bulan pertama tahun ini, katanya, sebanyak 689 kes direkodkan membabitkan etnik Rohingya dengan 1,548 individu ditahan.

“Daripada jumlah itu, tahun lalu merekodkan 277 kes dengan 723 tangkapan, manakala bagi lima bulan pertama tahun ini meningkat kepada 412 kes dengan 825 tangkapan.

“Kebanyakan tangkapan dilakukan di kawasan sempadan ketika mereka cuba memasuki negara ini melalui Kelantan.

“Tangkapan membabitkan kesalahan imigresen, penyeludupan migran, jenayah harta benda dan jenayah kekerasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, lapor Buletin TV3 pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengesahkan lebih 13,000 etnik Rohingya dikenal pasti berada di Kelantan, dengan 5,373 daripada mereka memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata, semua etnik Rohingya itu berada dalam pemantauan ketat pihak polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata etnik berkenaan dikesan berada di beberapa daerah termasuk Tanah Merah, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Jeli dan Kuala Krai, dengan kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh ladang serta tukang rumah.

“Setakat ini, kita tidak menerima aduan daripada penduduk berhubung keresahan terhadap kehadiran etnik berkenaan.

“Apa pun, kita sentiasa mempertingkatkan kawalan terhadap mereka dari semasa ke semasa.

“Kita juga memantau premis mereka seperti kelas mengaji dan madrasah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat