KUALA LUMPUR – Tiga bahagian PKR iaitu Selayang, Jempol dan Silam perlu mengadakan pemilihan semula.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan menghantar notis dalaman kepada tiga bahagian itu.
“Ya, hanya di beberapa peringkat sahaja.
“Itu nanti saya akan berikan notis. Notis dalaman kepada cabang-cabang itu,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kompleks Perbadanan Putrajaya lapor FMT pada Khamis.
Zaliha mengulas spekulasi akan berlaku pemilihan semula di Selayang, Jempol dan Silam atas pelbagai alasan dikemukakan kebanyakan calon kalah baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kekalahan beberapa nama besar pada pemilihan bahagian sah atau tidak, Zaliha berkata pihaknya menerima beberapa aduan dan ia akan diteliti Jawatankuasa Aduan dan Bantahan dipengerusikan Ahmad Kassim.
“Belum ada keputusan muktamad. Keputusan JPP belum muktamadkan untuk kita menyenaraikan kemenangan pada mereka bertanding,” katanya.
Antara nama besar yang kalah pada pemilihan adalah Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pemuda Adam Adli dan Pengarah Strategi Akmal Nasrullah Nasir.