KUALA LUMPUR – Cadangan Perikatan nasional (PN) mengenai penambahbaikan isu ladang babi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak tidak lagi relevan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, pengusaha kandang babi di kawasan DUN terbabit sudah pun mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Itu kawasan lama dan mereka (pengusaha) pun sudah mendapat lesen sejak sekian lama.
“(Kenapa) ketika mereka (wakil PN) menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian (negeri) tidak ada usaha untuk melakukannya (penambahbaikan seperti dicadangkan).
“Maka cadangan mereka untuk melakukan penambahbaikan itu saya fikir tidak lagi relevan kerana pengusaha itu sudah mengikut SOP ditetapkan Kementerian Pertanian (KPKM),” katanya ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, pada Khamis.
Isu ladang babi menjadi antara bahan kempen Perikatan Nasional (PN) apabila gabungan itu membangkitkan kebimbangan mengenai kewujudan pusat terbabit di kawasan majoriti Melayu di Ayer Kuning.
Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mendakwa ada 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah berkenaan, dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana terdapat ladang haram.
Ditanya mengenai keyakinannya terhadap calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap pengundi pelbagai kaum dapat memberikan sokongan kepada calon berkenaan.
“Saya sendiri akan berada di Ayer Kuning esok dari pagi hingga malam, kita akan berusaha sedaya upaya dan sekuat mungkin untuk menentukan pengekalan kerusi itu di tangan BN,” Presiden Umno itu lapor BH.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri; Abdul Muhaimin Malek mewakili PN dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.