Apple sewa kargo bawa 1.5 juta unit iPhone dari India ke AS elak cukai import Trump

- Advertisement -

New Delhi – Gergasi teknologi, Apple, menyewa penerbangan kargo khas bagi membawa 600 tan (600,000 kilogram) iPhone atau kira-kira 1.5 juta unit telefon pintar itu dari India ke Amerika Syarikat (AS), selepas syarikat itu meningkatkan pengeluaran di sana dalam usaha mengelak cukai import dikenakan Presiden Donald Trump.

Sumber yang memaklumkan perkara itu kepada Reuters berkata, langkah agresif itu menggambarkan strategi sulit syarikat telefon pintar berkenaan untuk mengelak cukai import AS serta memastikan stok iPhone sentiasa mencukupi di pasaran domestik mereka yang terbesar.

Penganalisis sebelum ini memberi amaran bahawa harga iPhone di AS berisiko melonjak berikutan pergantungan tinggi Apple terhadap pengeluaran dari China yang kini dikenakan cukai import tertinggi sebanyak 125 peratus.

Kadar cukai itu jauh lebih tinggi berbanding 26 peratus terhadap import dari India, namun kadar dari India kini digantung selepas Trump mengumumkan tempoh bertenang selama 90 hari minggu ini, yang tidak membabitkan China.

“Apple mahu mendahului cukai itu,” kata satu daripada sumber yang terbabit dalam perancangan penghantaran.

Sumber itu turut mendedahkan bahawa Apple melobi pihak berkuasa lapangan terbang di Chennai, Tamil Nadu, bagi mempercepatkan proses pelepasan kastam kepada enam jam berbanding 30 jam sebelum ini.

Sistem dikenali sebagai ‘green corridor’ di lapangan terbang Chennai itu turut meniru model sama digunakan Apple di beberapa lapangan terbang di China.

Sejak Mac lalu, kira-kira enam pesawat kargo berkapasiti 100 tan setiap satu sudah berlepas ke AS, termasuk satu penerbangan minggu ini ketika cukai baharu mula dikuatkuasakan, menurut sumber dan seorang pegawai kerajaan India.

Menurut pengiraan Reuters, berat sebuah iPhone 14 bersama kabel pengecas adalah sekitar 350 gram, dan dengan jumlah 600 tan penghantaran, dianggarkan sekitar 1.5 juta unit iPhone dihantar selepas mengambil kira berat bungkusan.

Apple dan Kementerian Penerbangan India tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap pertanyaan Reuters untuk mengulas perkara itu.

Semua sumber enggan dinamakan kerana strategi dan perbincangan itu bersifat sulit.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat