KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan budaya buli yang sudah sistematik dalam negara ini, khususnya dalam bidang pendidikan, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini Perdana Menteri memberi amaran yang budaya membuli berlaku kerana terdapat pihak bersikap permisif dengan membenarkan ia terus berlaku.
Justeru, tegas Anwar isu berbangkit ini menjadi cabaran bukan saja di pihak kepimpinan tertinggi universiti, bahkah ia memerlukan perhatian dan tindakan holistik daripada pihaknya serta kementerian berkaitan.
“Ia kelompok kecil bukan mewakili keseluruhan mahasiswa tapi budaya itu mengizinkan…budaya samseng, buli, gangster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, Maahad Tahfiz dan sekolah agama.
“Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu displin itu mendidik manusia. Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan. Ini cabaran bagi setiap pimpinan Naib Canselor, profesor dan pensyarah termasuk saya dan menteri.
“Jadi program pendidikan dan nilai mesti ditekankan. Ini kerana (ketika ini) kita ambil sikap permisif, mengalah dan bertolak ansur terhadap pembuli. Ia tidak boleh berlaku kalau budaya menolaknya.
“Saya bagi tahu kepada menteri pendidikan, jangan tolak ansur. (Saya) Bagi amaran dan nasihat jangan tolak ansur sama sekali kerana tak nak berlaku secara terpisah kerana berlaku dalam budaya,” katanya memetik BH pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Lembaga UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan betapa mustahaknya untuk menghayati ilmu pengetahuan kerana beliau percaya ia dapat membentuk nilai, akhlak dan adab dalam kalangan masyarakat.
Tegasnya, ini juga penting bagi melahirkan mahasiswa yang memiliki idea dan karakter kelas pertama.
Selain itu, dengan terbentuknya nilai, akhlak dan adab, Anwar menegaskan ia bukan saja memanfaatkan pelajar atau mahasiswa, bahkan berupaya melatih pemimpin untuk membugar sikap yang baik dalam memimpin sesebuah organisasi.
“Apa erti kepintaran, kemuliaan tanpa nilai, akhlak dan adab. Ia melatih pemimpin dunia yang korup, bodoh….tidak ada kemahiran pendidikan tetapi rendah akal budi dan nilainya.
“Ini termasuk sistemik dalam semua bidang termasuk dalam bidang ketenteraan, beli senjata, rundingan, tender, komisen dan sebagainya. Ini semua ada kaitan dengan nilai dan akhlak.
“Jadi cabaran anak-anak adalah keterampilan, kebijaksanaan dan tentunya nilai. Sebab itu, kalau saya sering sebut dalam dialog dengan anak mahasiswa mengenai pendidikan, makrifah atau wisdom (kebijaksanaan) hanya dengan pemupukan nilai.
“(Ini kerana) Ada pengetahuan membawa kebaikan dan kerosakan. Kebijakan (berada) atas sekali selari dengan apa yang dikatakan oleh Saidina Ali, bukan saja memekarkan pengetahuan tapi kebijakan yang diperlukan,” katanya.