UniKUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena sambutan Deepavali 2024 berkuat kuasa 28 Oktober hingga 3 November ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan SHMMP selama tujuh hari membabitkan lapan jenis barangan di bawah skim berkenaan.
Menurut beliau, barangan terbabit adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India) termasuk bawang ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.
“Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,” katanya pada sidang media Pengumuman Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, SHMMP Deepavali 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.
Katanya, harga maksimum yang ditetapkan menerusi skim itu pada peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN.
“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.
“Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini,” katanya.
Beliau berharap, semua pihak dapat mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan dikawal harga.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah SHMMP.
“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dikenakan penalti,” katanya.
Armizan berkata, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
Beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Katanya, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala untuk syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
“KPDN meminta kerjasama orang ramai memaklumkan sebarang aduan melalui saluran WhatsApp 019-848 8000; Call Centre 1-800-886-800; e-mel di [email protected] dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya.