Tahan senjata dan peluru:Hubungan Rumah Putih dan Netanyahu tegang

- Advertisement -

WASHINGTON- Ketegangan baharu antara pentadbiran Presiden Joe Biden dan Benjamin Netanyahu dilaporkan berlaku minggu ini.

Ia susulan kritikan Perdana Menteri Israel itu terhadap penghantaran senjata oleh Amerika Syarikat (AS).

Rumah Putih menyifatkan kenyataan Netanyahu itu sebagai mengecewakan.

Isu itu bermula apabila Netanyahu dalam video di media sosial pada minggu ini berkata, pentadbiran AS yang juga penyokong utama tentera Israel ‘menahan senjata dan peluru’ ke negaranya dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kenyataan itu amat mengecewakan dan pastinya mengecewakan kami memandangkan jumlah sokongan yang kami berikan.

“Tiada negara lain yang melakukan lebih banyak untuk membantu Israel mempertahankan diri daripada ancaman Hamas dan ancaman lain dihadapi mereka di rantau ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby kepada wartawan.

Sehari sebelumnya, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre memberitahu wartawan ‘mereka benar-benar tidak tahu apa yang Netanyahu bicarakan’.

Beliau juga merujuk kepada penghantaran bom berjumlah 2,000 paun yang menurut Washington sedang dalam semakan kerana kebimbangan penggunaannya di kawasan padat penduduk.

AFP melaporkan bagaimanapun, semalam Netanyahu berkata, beliau ‘bersedia untuk diserang secara peribadi dengan syarat Israel menerima peluru daripada AS yang diperlukan dalam perang’.

Pertengkaran itu bukanlah yang pertama antara ketua kerajaan Israel dan pentadbiran Biden sejak permulaan perang Gaza.

Biden sebelum ini pernah menyatakan tentangan kerasnya terhadap operasi besar-besaran Israel di Rafah di selatan Gaza, di mana lebih sejuta orang awam berada dan mengancam untuk menghentikan penghantaran senjata tertentu jika amarannya tidak diendahkan.

Semalam, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut memberi amaran kepada Israel terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan ekoran kebimbangan peningkatan perang serantau yang lebih meluas, dengan Hizbullah menembak puluhan roket ke utara Israel.

Dalam pertemuan dengan pegawai atasan Israel di Washington, Blinken berkata, Jabatan Negara ‘menekankan kepentingan untuk mengelakkan ketegangan di Lubnan dan mencapai resolusi diplomatik yang membolehkan keluarga Israel dan Lubnan pulang ke rumah mereka,” katanya.

Perang Gaza menjadi isu yang sangat perit bagi Biden yang berusia 81 tahun, yang sedang mencari peluang penggal kedua tahun ini.

Malapetaka kemanusiaan di Gaza dan jumlah kematian yang semakin meningkat membawa kepada kritikan tajam terhadap presiden dari sayap progresif partinya – tekanan yang perlu diimbangi oleh Biden khususnya kepada dasar AS yang sudah lama menyokong Israel.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat