KUALA LUMPUR: Kepetahan bercakap sahaja tidak mencukupi jika mahu menggalas tugas sebagai pengacara dokumentari Islamik terbitan TV3, Jejak Rasul.
Pengacaranya, Ahmad Fedtri Yahya, 42, berkata pembawakan dokumentari ikonik yang menjadi tontonan wajib rakyat Malaysia setiap Ramadan itu perlu disulami dengan pengalaman serta kajian mendalam mengenai sejarah keislaman.
“Kalau orang muda yang buat (mengacara), mungkin hanya bercakap sahaja, tapi kalau datang dengan pengalaman ia akan jadi berbeza.
“Saya pernah sampai ke kawasan pergolakan (di luar negara) yang diberi masa setengah jam sahaja untuk membuat liputan kerana pelbagai kemungkinan boleh terjadi di situ.
“Jadi, dengan pengalaman yang ada, ia akan membantu (melancarkan proses pengacaraan). Bukan bermakna orang muda tak boleh buat, tapi kalau bercakap semua boleh.
“Sebagai penulis, pengarah dan pengkaji boleh dikatakan ia memudahkan saya untuk menterjemahkan Jejak Rasul dengan baik,” katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai pencarian bakat baharu, Fedtri yang sudah mengendalikan Jejak Rasul sejak 2013 berkata, perkara itu menjadi impiannya, malah bersedia untuk membimbing mereka yang berminat.
“Kalau ikut tradisi memang begitu (mencari pelapis), tapi mahu mencari yang betul-betul bagus itu mungkin akan mengambil masa kerana kalau sekadar bercakap semua orang boleh.
“Mungkin kalau mahu mencari saya akan bimbing dahulu, kemudian bila sudah yakin baru akan dilepaskan. Menarik juga untuk adakan program pencarian bakat baharu pengacara Jejak Rasul,” katanya.
Pada Ramadan kali ini, Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul III akan bersiaran sebanyak 10 episod pada setiap Sabtu dan Ahad, mula jam 6.30 petang. Program mesti tonton sepanjang bulan mulia ini sudah ditayangkan sejak 18 Mac lalu.
Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul III mengimbau sejarah alim ulama negeri Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Institusi pondok yang menjadi pusat pengajian Islam nusantara sejak empat kurun lalu menjadi petunjuk kesinambungan tradisi keilmuan yang subur terutama sepanjang kurun ke-18 hingga ke-19.
Berita Harian