KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dijangka boleh memainkan peranan semak dan imbang terutamanya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan Shahrizat sebagai gergasi dalam Wanita Umno ketika mengemudi sayap Umno itu sebelum ini.
Pun begitu, Khairy berkata itu adalah pilihan kepada Shahrizat sama ada untuk memainkan fungsi semak dan imbang kepada parti terutamanya Zahid atau hanya sekadar mengikut rentak sahaja.
“Penyandang Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Noraini Ahmad dicabar oleh pendahulunya, Shahrizat Jalil. Bagi saya Shahrizat adalah gergasi dalam Wanita, beliau ada kebolehan, karisma meskipun nampak seperti berpatah balik tapi beliau seorang pemimpin yang hebat.
“Cakap-cakap dalam pasaran mengatakan Shahrizat mempunyai kelebihan dan kalau beliau menang, harus buktikan berbaloi muncul semula.
“Noraini Ketua Wanita yang ‘steady’ mungkin tak menyerlah dari segi gaya dan stail namun Shahrizat boleh naikkan semangat Wanita mungkin Shahrizat lah,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan yang dimuat naik pada Khamis.
Menurut Khairy, Shahrizat ada pilihan untuk main peranan semak dan imbang namun Noraini tiada gravitas untuk betul-betul semak dan imbang.
“Shahrizat boleh (semak dan imbang) kerana beliau ada senioriti, dia ada pengalaman tetapi adakah dia nak buat ataupun tidak(semak dan imbang), adakah dia akan ikut flow sahaja? Itu kita nak tengok nanti kalau Shahrizat menang.
“Sama ada dia akan play the role yang kita tahu dia boleh main iaitu betul-betul jadi check and balance terutamanya kepada Presiden lah,” katanya lagi.
Dalam pada itu Khairy beberapa kali mengingatkan kepada ahli-ahli Umno dan juga perwakilan yang akan mengundi untuk memilih calon yang
terbaik.
“Ingat semak dan imbang dan ingat suara dari bawah jangan menafikan realiti terutamanya realiti PRU15.
“Jangan lupa ini bukan sorakan untuk kita mempertahankan pucuk pimpinan tetapi ini permulaan untuk kita melaksanakan perubahan besar dalam parti Umno
“Dalam hati saya masih Umno walaupun dilucut keahlian saya oleh Zahid Hamidi, hati saya masih lagi Umno,” luah beliau.
Khairy juga menegaskan agar tidak memilih calon-calon ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua-ketua bahagian yang sekadar menjadi pak turut, tukang angguk.
“Kita harap bahawa ada ramai yang independent minded yang betul-betul boleh merasai denyut nadi rakyat yang ingin melihat kepada perubahan besar dalam Umno tapi dinafikan perubahan besar pucuk pimpinan tapi hanya dapat melaksanakannya melalui kepimpinan bahagian dan juga peringkat MKT,” kata beliau.-Suara.TV