KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menarik nafas lega apabila Telekom Malaysia Bhd (TM) menjelaskan bahawa Menara KL (MKL) adalah milik kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.
Menurut Annuar kenyataan yang dikeluarkan oleh TM itu telah memadam fitnah yang mengaitkan dirinya.
“Alhamdulillah,satu fitnah terjawab, terima kasih TM.
“Tuduhan kononnya Menara KL dijual secara senyap-senyap rupanya Menara KL kekal milik kerajaan. Alhamdulillah Menara KL tak dijual,” catat Annuar di Facebooknya pada Khamis.
Jelas beliau lagi, mengikut peraturan sebarang penjualan atau perlupusan aset kerajaan hanya boleh diluluskan Kabinet.
“Konsesi TM dah tamat 2019 lagi. Rupanya TM yg memutuskan untuk tidak menyambung konsesi mengurus.
“Satu persoalan yang masih kabur.Difahamkan syarikat konsesi ini untung berpuluh juta setahun 2018,2019 dulu..kalau benar begitu menguntungkan,kenapa TM nak lepaskan juga?
“Mungkin TM boleh jelaskan lebih lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, TM menjelaskan bahawa Menara KL adalah milik kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata TM melalui anak syarikat milik penuhnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996.
Walau bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM mahu menumpukan usaha dan sumber bagi mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi dan teknologi.
Oleh itu, selepas pertimbangan yang sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan Menara KL daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan kepada kerajaan.