Ada lagu yang kita dengar kerana sedap, tetapi ada juga lagu yang kita dengar kerana di dalamnya tersimpan sebahagian daripada hidup kita. Mungkin itu yang menjelaskan mengapa lebih 14,000 peminat sanggup memenuhi Educity Sports Complex, Johor Bahru untuk menyaksikan Konsert Wali Band Live in JB yang berlangsung hampir tiga jam.
Bagi Wali Band, Johor Bahru bukan sekadar satu lagi lokasi persembahan dalam perjalanan mereka. Pertemuan dengan peminat pada malam itu terasa seperti sebuah pertemuan semula dengan generasi yang sudah lama membesar bersama lagu-lagu mereka. Tahun boleh berganti, kehidupan boleh berubah dan setiap orang mungkin sudah melalui jalan yang berbeza, tetapi apabila muzik Wali Band dimainkan, kenangan lama seolah-olah tahu jalan untuk kembali.
Faank selaku vokalis bersama Apoy di posisi gitar, Tomi selaku pemain dram dan Ovie di papan kekunci tampil dengan tenaga yang seakan tidak mengenal usia. Sebaik sahaja mereka mengambil tempat di pentas, sorakan penonton bergema memenuhi ruang Educity Sports Complex, sebelum “Cari Berkah” membuka perjalanan persembahan dan disusuli “Si Udin Bertanya”, “Kekasih Halal” serta “Neneku Pahlawanku”.
Deretan lagu tersebut segera mengubah suasana menjadi sebuah pesta muzik apabila penonton mula menyanyi dan bergoyang mengikut rentak. Menariknya, Wali Band tidak membiarkan persembahan bergerak seperti sebuah pertunjukan yang terlalu tersusun sehingga menghilangkan unsur spontan. Faank banyak berinteraksi dengan penonton, menyelitkan gurauan dan berkongsi cerita sepanjang berada di Johor Bahru, membuatkan suasana malam itu terasa lebih dekat dan bersahaja.
Cara Faank berkomunikasi dengan penonton juga menjadi antara kekuatan persembahan tersebut. Dia tidak sekadar berdiri di hadapan mikrofon untuk menyampaikan lagu, sebaliknya kerap mengajak penonton bercakap dan memberikan respons terhadap apa yang berlaku di atas pentas. Apabila dia bertanya sama ada penonton sudah penat atau masih mahu meneruskan persembahan, sorakan yang diterima menjadi jawapan bahawa tenaga di dalam dewan itu masih belum habis.
Hubungan seperti itulah yang menjadikan sesebuah konsert lebih daripada sekadar persembahan muzik. Wali Band seolah-olah tidak mahu penonton sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya mengajak mereka menjadi sebahagian daripada malam tersebut. Setiap kali korus lagu diberikan kepada penonton, ribuan suara bergabung menjadi satu dan menghasilkan suasana yang sukar diterjemahkan hanya melalui rakaman video.
Wali Band turut sempat berkongsi cerita mengenai pengalaman mereka sepanjang berada di Johor, termasuk menikmati makanan tempatan seperti Nasi Lemak Lobster yang cukup dikenali dalam kalangan pengunjung dari Singapura dan Indonesia. Perkara itu mungkin sekadar selingan kecil di tengah-tengah persembahan, namun ia menjadikan hubungan mereka dengan penonton terasa lebih manusiawi kerana mereka tidak hadir hanya untuk menyanyi dan meninggalkan pentas, tetapi turut membawa sedikit pengalaman tentang tempat yang menjadi tuan rumah kepada pertemuan tersebut.
Namun, di sebalik muzik dan gurauan, Wali Band tidak pernah meninggalkan identiti religi yang sudah sebati dengan perjalanan mereka dalam industri muzik. Pada satu ketika, suasana yang sebelumnya dipenuhi sorakan dan gelak tawa berubah menjadi lebih tenang apabila Faank mengajak penonton menitipkan doa serta harapan untuk kehidupan yang lebih baik.
Doa tersebut merangkumi pelbagai lapisan kehidupan, daripada mereka yang masih belajar dan mencari arah, mereka yang sedang bekerja atau membina perniagaan, hinggalah mereka yang sudah berumah tangga. Wali turut menitipkan harapan agar peminat diberikan rezeki yang luas, kesihatan yang baik, kehidupan yang diberkati serta keampunan atas segala kesilapan yang pernah dilakukan.
Beberapa potongan ayat suci Al-Quran termasuk surah Al-Fatihah turut menjadi sebahagian daripada momen tersebut, memberikan ruang kepada penonton untuk berhenti seketika daripada kemeriahan konsert dan menghayati sisi lain persembahan Wali Band. Namun, Faank tetap menyelitkan gurauan ringan dalam suasana tersebut, menjadikan mesej yang disampaikan tidak terasa terlalu berat dan masih mengekalkan karakter santai Wali Band.
Selepas itu, persembahan bergerak ke segmen akustik yang memberikan warna berbeza kepada malam tersebut. “Doa Untukmu Sayang” menjadi antara lagu yang terasa begitu dekat dengan peminat apabila Faank secara spontan bertanya, “Do you love Wali?” dan sorakan penonton menjadi jawapan paling jelas kepada pertanyaan tersebut.
“Baik-Baik Sayang” pula memberi peluang kepada ribuan peminat mengambil alih bahagian korus apabila muzik dihentikan seketika. Suara penonton yang menyambung lagu tersebut membuktikan bahawa banyak karya Wali Band sudah tidak lagi menjadi milik mereka semata-mata, sebaliknya turut menjadi sebahagian daripada kehidupan orang yang mendengarnya.
Ketika “Harga Diriku” pula dimainkan, petikan gitar Apoy menjadi pengiring kepada suara Faank yang menyampaikan pesanan, “Kalian adalah harga diri Wali.” Dalam konteks sebuah konsert yang dihadiri ribuan manusia, ungkapan itu terasa seperti satu penghargaan kepada peminat yang selama ini menjadi sebahagian daripada perjalanan Wali Band.
Wali kemudian kembali membawa rentak lebih rancak dan “Tobat Maksiat” menjadi antara persembahan yang menyerlahkan gabungan muzik serta mesej yang menjadi identiti kumpulan tersebut. Walaupun lagu itu membawa mesej tentang muhasabah, taubat dan mengingati kematian, persembahannya tetap berlangsung dalam suasana yang bertenaga.
Permainan dram Tomi yang diselaraskan dengan pencahayaan pentas mengikut hentakan muzik turut memberikan impak visual yang menarik, manakala sistem bunyi yang jelas memastikan vokal dan muzik dapat dinikmati dengan baik oleh penonton. Produksi yang kemas itu membantu menjadikan persembahan Wali Band bukan sahaja kuat dari sudut muzik, tetapi turut memberikan pengalaman visual yang sepadan dengan tenaga mereka di atas pentas.
Jika kehadiran Wali Band menjadi nadi utama malam tersebut, kemunculan Najwa Latif pula memberikan satu lagi warna kepada perjalanan persembahan. Penyanyi kelahiran Batu Pahat itu membuka tirai dengan tujuh lagu popular termasuk “AdaMu”, “Carta Hati”, “Satu Hari Nanti”, “Kosong”, “Sahabat”, “Untuk Dia” dan “Cinta Muka Buku”.
Walaupun Najwa kini tidak lagi seaktif dahulu dalam dunia nyanyian kerana lebih banyak memberi perhatian kepada kerjaya sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan, kemunculannya di pentas membuktikan suara dan identitinya masih mempunyai tempat tersendiri dalam hati peminat. Apabila “Cinta Muka Buku” dinyanyikan, penonton turut mengambil bahagian dan menyanyikan lagu tersebut bersama-sama, menghidupkan kembali nostalgia satu generasi yang membesar dengan karya Najwa.

Pertemuan Najwa dan Wali Band juga mempunyai nilai nostalgia tersendiri apabila kedua-duanya mula mengukuhkan nama sebagai penyanyi rakaman dalam tempoh yang tidak terlalu jauh antara satu sama lain. Wali Band mula mencipta nama sekitar 2008, manakala Najwa pula muncul dalam radar industri beberapa tahun kemudian, menjadikan pertemuan mereka pada malam itu seolah-olah menemukan dua nama daripada sebuah generasi muzik yang sama-sama pernah menjadi teman kepada pendengar.
Namun kejutan sebenar berlaku apabila Najwa kembali ke pentas untuk bergabung bersama Wali Band menerusi “Yank”. Kemunculan tersebut difahamkan berlaku secara spontan tanpa latihan terlebih dahulu, tetapi hasilnya ternyata menjadi antara momen yang paling menarik pada malam tersebut.
Vokal Najwa yang lembut dan bersahaja ternyata serasi dengan suara Faank, menghasilkan sebuah persembahan yang terasa natural tanpa perlu terlalu banyak gimik. Ada sesuatu yang menarik apabila dua karakter vokal yang berbeza bertemu dalam satu lagu dan akhirnya menghasilkan suasana yang tidak dijangka.
Selepas kolaborasi tersebut, Wali Band kembali menghidupkan suasana menerusi “Aku Bukan Bang Toyib”. Penonton semakin ramai bangun dari tempat duduk, menari dan menyanyi bersama sehingga ruang Educity Sports Complex dipenuhi suara serta gerakan peminat yang benar-benar menikmati setiap detik persembahan.

Tetapi selepas hampir tiga jam membawa penonton melalui pelbagai emosi, Wali Band akhirnya memilih “Cari Jodoh” sebagai lagu penutup.
Pemilihan lagu tersebut terasa begitu tepat kerana “Cari Jodoh” bukan sekadar sebuah lagu popular dalam katalog Wali Band, tetapi sudah menjadi antara karya yang cukup sinonim dengan kumpulan tersebut. Sebaik sahaja lagu dimainkan, hampir seluruh ruang konsert kembali bergema dengan suara penonton yang menyanyi bersama.
Menariknya, lagu tentang mencari jodoh itu tidak pernah mengenal siapa yang mendengarnya. Mereka yang masih bujang boleh menghayatinya sebagai sebuah harapan, manakala mereka yang sudah berpasangan mungkin sekadar mengenang perjalanan sehingga akhirnya dipertemukan dengan insan yang kini berada di sisi. Dalam sebuah ruang yang dihimpunkan oleh 14,000 manusia, setiap orang mungkin membawa kisah cinta yang berbeza, tetapi malam itu semuanya bertemu melalui lagu yang sama.
Mungkin itulah kekuatan Wali Band yang paling sukar untuk ditiru. Mereka mempunyai lagu yang mudah diterima, tetapi di sebalik melodi yang ringan dan menghiburkan, terdapat cerita tentang manusia yang sentiasa berubah mengikut keadaan. Tentang cinta yang pernah hadir, tentang perpisahan yang pernah dirasai, tentang kehidupan yang perlu ditempuh dan tentang harapan yang tetap disimpan walaupun masa terus berjalan.
Wali Band juga membuktikan bahawa sebuah konsert tidak semestinya perlu dipenuhi dengan gimik besar untuk meninggalkan kesan. Kadangkala, cukup dengan lagu yang pernah kita dengar bertahun-tahun lalu, seorang vokalis yang tahu bagaimana bercakap dengan penonton, petikan gitar yang tepat pada waktunya dan ribuan suara yang menyanyi bersama, sebuah malam sudah mampu menjadi kenangan.

Apabila “Cari Jodoh” sampai ke penghujungnya, Wali Band menutup malam tersebut dengan sorakan dan nyanyian 14,000 peminat yang seakan-akan enggan melepaskan suasana yang sudah mereka bina bersama sejak awal persembahan. Di pentas, Wali Band mungkin sudah menyelesaikan tugas mereka, tetapi bagi penonton, perjalanan malam itu masih akan dibawa pulang dalam bentuk kenangan.
Kerana akhirnya, muzik bukan sekadar tentang lagu yang dimainkan dan selesai apabila lampu pentas dipadamkan. Ada lagu yang terus hidup selepas persembahan berakhir kerana ia membawa sesuatu yang lebih peribadi kepada pendengarnya. Ia membawa wajah seseorang, satu zaman, sebuah cerita atau perasaan yang pernah kita simpan jauh di sudut hati.
Dan di Johor Bahru malam itu, Wali Band sekali lagi membuktikan bahawa lagu-lagu mereka masih mempunyai kemampuan untuk melakukan perkara tersebut. Selepas bertahun-tahun berada dalam industri, mereka masih mampu mengumpulkan ribuan manusia untuk bernyanyi bersama, ketawa bersama, berdoa bersama dan akhirnya pulang membawa kenangan yang mungkin akan kembali dikenang setiap kali lagu Wali Band dimainkan.
Malam itu mungkin sudah berakhir, tetapi untuk 14,000 peminat yang hadir, ada kemungkinan cerita tentang Wali Band di Johor Bahru akan terus hidup lama selepas pentas tersebut kembali sunyi.



