KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru kepada Kementerian Pendidikan untuk menjalankan audit menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan mekanisme pencegahan buli di sekolah termasuk keberkesanan saluran aduan dan tindakan susulan terhadap setiap laporan yang diterima.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berkaitan kes yang melibatkan kematian Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemui mati di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor dua hari lepas.
Menurut Muhyiddin sebarang tanda buli, ugutan, gangguan atau ancaman terhadap keselamatan pelajar mesti dipandang serius dan ditangani sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
“Dalam masa yang sama, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menghormati keluarga Allahyarhamah dan proses siasatan,” katanya.
Beliau juga menyeru kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sepenuhnya, telus dan segera untuk menentukan apa sebenarnya berlaku dalam kejadian berkenaan.
Muhyiddin berkata sekiranya terdapat unsur jenayah atau kecuaian, tindakan sewajarnya mesti diambil mengikut undang-undang tanpa mengira siapa yang terlibat.
“Pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan tidak harus menunggu sehingga siasatan selesai untuk mengambil langkah pencegahan. Sebarang kelemahan dalam aspek keselamatan, pemantauan, disiplin serta pengurusan buli dan keganasan di sekolah mesti dikenal pasti dan diperbaiki segera,” kata Muhyiddin.
Beliau juga meluahkan perasaan dukacita dengan berita pemergian Allahyarhamah Irene Sofiya dalam kejadian menyayat hati.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga Allahyarhamah. Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda merupakan ujian yang amat berat.
“Semoga keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran menghadapi dugaan ini,” katanya.
Muhyiddin menyatakan bahawa pemergian Irene Sofiya tidak boleh berakhir dengan hanya ucapan takziah semata-mata tetapi perlu memastikan tragedi seperti ini tidak berulang dan setiap anak yang melangkah ke sekolah dapat belajar dalam suasana yang selamat serta pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Irene Sofiya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata Muhyiddin.
Mangsa ditemui sudah tidam bernyawa di dalam dewan sekolahnya selepas menghadiri sesi kelas tambahan dan kini ia mendapat perhatian meluas di dalam negara khususnya di media sosial.
Kejadian bermula pada hari Sabtu lepas apabila mangsa dikatakan menghadiri kelas berkenaan pada waktu petang.
Apabila sesi sekolah tamat, mangsa didapati tidak pulang ke rumah, namun motosikalnya masih berada di perkarangan sekolah.



