KUALA LUMPUR – Pas Melaka menafikan sekeras-kerasnya penyebaran maklumat memaparkan senarai calon Pas bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti yang tular di media sosial.
Justeru, Pas Melaka memandang serius tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan bahan berkenaan yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan,” tegas Pas Melaka dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum itu, tular senarai nama calon cadangan yang dijangka bakal bertanding dalam PRN Melaka yakni, bagi DUN Bemban, Pas Kawasan Jasin sudah mengadakan mesyuarat dan mencadangkan Ketua Pemuda Pas Negeri Melaka, Zulhilmi Suboh sebagai calon.
Selain itu, Setiausaha Pas Kawasan Jasin, Norfaizal Nordin turut antara nama yang disenaraikan untuk dipertimbangkan bagi kerusi berkenaan.
Manakala bagi DUN Bukit Katil pula, Pas Kawasan Hang Tuah Jaya memutuskan untuk mencadangkan Yang Dipertuanya, Al Hafiz Yahya sebagai calon.
Sementara itu, Pemuda Pas Melaka dicadangkan untuk mengetengahkan calon daripada sayap berkenaan bagi DUN Ayer Keroh.
Bagi DUN Paya Rumput pula, sumber memaklumkan Yang Dipertua Pas Kawasan Tangga Batu, Datuk Bakri Jamaludin yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, antara nama yang dicadangkan untuk bertanding di kerusi tersebut.


