Rumah Dihanyut Banjir, Penduduk Harap MB Kelantan Datang Jenguk

- Advertisement -

CYBERJAYA – Lima buah rumah dihanyutkan dan lebih 50 rumah lagi terjejas akibat banjir di Kampung Terusan, Rantau Panjang, Kelantan, pada 27 Februari lalu, lapor Malaysiakini.

Menurut laporan itu, pelbagai pihak telah tampil memberikan bantuan, malah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada kunjungannya ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu baru-baru ini juga mengumumkan kerajaan akan membina rumah baru bagi menggantikan rumah yang hanyut.

Selain itu sumbangan daripada wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan individu turut tiba silih berganti.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut penduduk amat berharap Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob atau Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akan datang menjenguk untuk melihat sendiri keadaan mereka yang menjadi mangsa banjir terburuk pernah melanda kampung itu.

Wakil penduduk Ariffin Ismail, 60, berkata penduduk sememangnya sering dikunjungi pelbagai pihak termasuk Anggota Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof, namun kehadiran orang nombor satu negeri sangat dinanti-nantikan.

“Kami mahu menteri besar datang lihat keadaan kampung, atau timbalan. Kami mahu mengadu nasib.

“Banjir kali ini paling teruk berbanding keadaan sebelum ini, marilah tengok kami,” katanya, dipetik dari laporan itu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mariam Mamat, 80, berkata dia diberitahu rumahnya hanyut ketika hari kedua berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurutnya, dia sangat terkejut dengan kejadian itu memandangkan sudah 63 tahun mendiami rumah tersebut.

“Saya tinggal bersama anak menantu dan lapan cucu di rumah ini. Buat masa sekarang kami menumpang di surau kampung sementara anak carikan rumah sewa.

“Rasa syukurlah sebab kerajaan nak bagi rumah baru dan wakil rakyat nak tampung bayaran rumah sewa sementara rumah baru siap,” katanya.

Manakala bagi Mohd Rodi Zakaria, 54, dia sekeluarga berharap rumah baru yang akan dibina kerajaan tidak memakan masa yang panjang untuk siap.

“Buat masa ini saya dan isteri bersama enam anak kami menumpang di rumah mak.

“Memang buntu juga memikirkan keadaan rumah yang hanyut. Sekarang rasa lega apabila kerajaan mahu ganti,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat