“BN Menang Besar Di Johor, Nauzubillah Min Zalik” – Muhyiddin

PAGOH – Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan kebimbangan sekiranya Barisan Nasional (BN) diisytiharkan menang besar pada 12 Mac ini.

Kata bekas Perdana Menteri itu anak-anak muda adalah tonggak harapan untuk memastikan perisytiharan kemenangan BN itu tidak berlaku.

“Kita sedang hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang amat penting ini.

” Saya rasa cukup bimbang sekiranya selepas 12 Mac yang akan datang ini bila diisytiharkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa BN sudah pun menang besar di Negeri Johor. Nauzubillah min zalik,” kata ahli Parlimen Pagoh itu dalam ucapannya di Pentas Anak Muda Johor, malam tadi.

Menurut Muhyiddin kebimbangan itu tercetus kerana beliau masih kabur parti pilihan anak muda terutamanya kelompok pengundi pertama kali.

“Kebimbangan itu bukan kerana apa, apakah sikap generasi muda terhadap kepimpinan dan kerajaan yang mereka mahu. Kita mahu masa depan yang lebih baik.

“Sebab itu kita kena tolak kluster-kluster mahkamah, jangan kita biarkan mereka menguasai kerajaan Johor malu orang Johor, saya orang Johor,” tegas beliau.

Ujar Muhyiddin lagi, Perikatan Nasional (PN) sewajarnya menjadi parti gantian kepada BN yang sudah lama sepatutnya terkubur.

“Saya dah selesaikan masalah hutang peneroka Felda RM8.3 bilion, kita (PN) hapuskan hutang mereka.

“Kalau orang Felda tak sokong kita, tak tahulah saya. RM99 bilion kita bantu supaya Felda dapat dipulihkan semula, kini FGV 82 peratus telah dikembalikan,” katanya.

Bukan itu saja Muhyiddin juga mengakui masih samar-samar arah pengundi di Pagoh sendiri yakni pemilih di DUN Bukit Kepong dan Bukit Pasir.

“Di Pagoh saja ada tambahan hampir 16,000 pengundi iaitu menjadikan pertambahan 25 peratus pengundi di Pagoh.

“Saya tak tahulah arah mana mereka nak mengundi, doa kita mereka akan undi PN di Bukit Kepong dan Bukit Pasir ini akan menang,” luah beliau.

Muhyiddin juga risau tentang peratusan keluar mengundi pada 12 Mac ini.

“Bimbang berapa peratus yang akan keluar mengundi, kalau peratusan keluar mengundi rendah itu menguntungkan UMNO-BN.

“Sedangkan inilah permulaan bagi suatu senario nasional akan berlaku selepas Johor.

“Saya harap bila mana pilihan raya selesai PN dapat sokongan membentuk kerajaan dan ini akan jadi paltform pertama untuk kita siap sedia hadapi PRU-15 untuk PN kembali berkuasa bukan saja di Johor tapi negara,” kata beliau.