Tuduhan Shahril Hamdan tidak tepat, Proklamasi tidak undur tarikh – Peguam Undang Yang Empat

SEREMBAN, – Peguam kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menegaskan bahawa proklamasi penurunan takhta di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 tidak diundur tarikh, sebaliknya ditandatangani dalam dua peringkat bagi melengkapkan dokumen berkenaan.

Menurut kenyataan bersama Asmawi Ismail, Azam Aziz, Emirul Sarifudin Nor Azmi dan Mohd Zainuddin Omar, Undang Yang Empat menandatangani proklamasi itu pada 19 April 2026 sebelum disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos 2026.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab persoalan Shahril Hamdan mengenai keabsahan proklamasi serta tarikh tandatangan Menteri Besar pada dokumen berkenaan.

“Adalah juga fakta yang jelas bahawa tiada undur tarikh berkenaan proklamasi penurunan takhta tersebut di mana Undang Yang Empat telah menandatanganinya pada 19/4/2026 dan seterusnya disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar pada 3/8/2026,” menurut kenyataan itu.

Keempat-empat peguam berkenaan berhujah bahawa persoalan yang dibangkitkan Shahril terlepas pandang prinsip kesinambungan jawatan atau ‘Continuity of Office’, iaitu jawatan Menteri Besar merupakan institusi pentadbiran yang berterusan dan berasingan daripada individu yang menyandangnya.

Menurut mereka, kuasa perlembagaan, tugas serta hak eksekutif terletak pada jawatan Menteri Besar, bukannya pada individu atau parti politik tertentu.

Sehubungan itu, mereka berpandangan sesiapa yang menyandang jawatan tersebut secara sah mempunyai kapasiti undang-undang untuk melaksanakan tugas dan menandatangani dokumen rasmi bagi pihak institusi Menteri Besar.

“Seorang Menteri Besar baharu yang telah mengangkat sumpah secara sah mempunyai kuasa penuh di bawah perlembagaan untuk menandatangani instrumen rasmi yang diperlukan Kerajaan, pejabat Menteri Besar atau mana-mana Institusi Negeri termasuk dokumen yang berkaitan dengan proses atau tindakan yang telah dimulakan terdahulu,” menurut kenyataan itu.

Dari sudut pentadbiran, mereka menjelaskan bahawa keperluan memulakan semula setiap proses, proklamasi atau keputusan rasmi apabila berlaku pertukaran kepimpinan akan menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri.

Sebaliknya, menurut mereka, kesinambungan keputusan eksekutif bersandarkan keabsahan institusi dan bukannya identiti peribadi pemegang jawatan.

Mengulas Perkara 10 UUTKNS 1959, peguam berkenaan menyatakan bahawa peruntukan tersebut merujuk secara khusus kepada institusi Menteri Besar tanpa menamakan mana-mana individu.

Atas tafsiran itu, mereka mempertahankan tindakan Menteri Besar baharu menandatangani proklamasi berkenaan sebagai sah kerana dilakukan atas kapasiti jawatan yang disandangnya.

Mereka turut berpandangan bahawa tandatangan Menteri Besar merupakan tanggungjawab perlembagaan di bawah Perkara 10 bagi mematuhi prerogatif dan kuasa Undang Yang Empat.

Dalam hujah tersebut, mereka merujuk Perkara 32 dan 79 UUTKNS serta Perkara 71(1) dan 71(2) Perlembagaan Persekutuan sebagai peruntukan yang melindungi prerogatif dan kuasa berkenaan.

“Menteri Besar juga bukanlah institusi yang mempunyai kuasa budibicara yang boleh memilih samada untuk menandatangani atau tidak menandatangani Proklamasi tersebut,” menurut kenyataan itu.

Peguam berkenaan seterusnya membezakan fungsi tandatangan Menteri Besar untuk melengkapkan proklamasi dengan keputusan yang dibuat oleh Undang Yang Empat.

Menurut pendirian mereka, tandatangan itu merupakan sebahagian daripada proses pentadbiran eksekutif, bukannya tindakan untuk menentusahkan keputusan atau ketetapan Undang Yang Empat berdasarkan prerogatif adatnya.

Dalam masa sama, mereka meminta Shahril serta orang ramai meneliti keseluruhan kronologi kemelut tersebut bagi memahami jarak masa antara tandatangan Undang Yang Empat dengan tandatangan Menteri Besar.

Kenyataan itu turut mengaitkan kelewatan tersebut dengan apa yang disifatkan mereka sebagai keingkaran Menteri Besar ketika itu, diikuti pembubaran Dewan Undangan Negeri, pilihan raya negeri dan pelantikan Menteri Besar baharu.

Menurut mereka, penelitian terhadap rantaian peristiwa itu akan menjelaskan serta memberikan justifikasi terhadap tarikh proklamasi berkenaan ditandatangani Menteri Besar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat