PBM Sedia Jalin Kerjasama Dengan Parti Menang PRN Johor

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedia menjalin kerjasama politik dengan parti atau gabungan yang menubuhkan kerajaan negeri selepas 12 Mac ini sekiranya calon mereka diberi mandat oleh rakyat.

Naib Presiden Kanannya, Steven Choong Shiau Yoon berkata, rancangan tersebut dibuat bagi membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka berkhidmat dengan lebih berkesan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, perkara itu hanya boleh dilaksana sekiranya mereka bekerjasama dan berpihak kepada blok kerajaan.

“Memang kita hanya bertanding di empat kerusi DUN dan sekiranya kami ada wakil, kita akan sokong kerajaan negeri baharu kerana itu kaedah terbaik untuk menyumbang secara positif kepada rakyat.

“Langkah yang dibuat ini sama seperti pendirian PBM di peringkat pusat iaitu wakil-wakil rakyat kami menyokong kerajaan semasa, jadi, di peringkat negeri juga sama,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran manifesto PBM untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Tambah Steven Choong, pihaknya bagaimanapun masih belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak untuk menjalin kerjasama politik sebaliknya mengambil pendirian menunggu hari keputusan.

“Sekarang, belum ada sebarang perbincangan lagi, kita tunggu keputusan PRN dahulu dan lihat siapa yang akan tubuhkan kerajaan negeri kemudian kita akan sampaikan hasrat utk bekerjasama,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi PBM Johor turut mengulas perjalanan kempen PBM yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk menang di keempat-empat kerusi ditandingi mereka iaitu Puteri Wangsa, Maharani, Tiram dan Stulang.

Sementara itu, beliau yang turut bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa memberitahu pesaing terdekatnya dalam PRN Johor ini adalah calon daripada Barisan Nasional (BN).

“Pada awal-awal dahulu, saya melihat calon Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) sebagai antara pencabar utama, namun, setelah kempen berjalan, saya merasakan calon BN yang akan menjadi pencabar.

“DUN Puteri Wangsa peluang (menang) cerah, namun, kita masih perlu melihat kepada jumlah peratusan penduduk yang keluar mengundi kerana itu akan memberi kesan, jadi, kita masih tidak boleh terlalu yakin sebaliknya terus fokus menyantuni rakyat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shiau Yoon turut memaklumkan tujuh perkara utama yang akan menjadi manifesto parti berkenaan khususnya dalam memulihkan ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Antara langkah yang dicadangkan adalah mewujudkan polisi ‘fast-track’ bagi pelabur yang berminat untuk menjalankan perniagaan di negeri ini dengan tempoh masa antara tiga atau empat bulan, selain memberi kemudahan ‘visa on arrival’ kepada pelabur China kerana melihat negara itu sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia ketika ini,” tambahnya. –Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat