CYBERJAYA – Dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban dilaporkan dilihat tidak bersedia untuk duduk di kerusi pembangkang bersama lima lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).
Utusan halaman Premium melaporkan, ini susulan kenyataan salah seorang pemimpin yang menegaskan, pembentukan kerajaan negeri perlu mengambil kira komposisi kerajaan di peringkat Pusat yang mencerminkan keharmonian kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN.
ADUN Bemban dari Bersatu, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan demi kestabilan politik dan selari dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menzahirkan sokongan atau kerjasama antara kedua-dua belah pihak.
Ujarnya lagi, perkara sama sepatutnya diterapkan di peringkat kerajaan negeri Melaka.
“Walaupun kita bertanding berasingan, kena ingat juga di peringkat awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ada usaha untuk bergabung. Tetapi, ia tidak berjaya kerana ada unsur-unsur lain yang menghalangnya seperti pembahagian kerusi.
“Buat masa ini, belum diputuskan lagi sama ada saya di blok pembangkang atau kerajaan, jadi, tidak boleh ulas lebih lanjut. Jika lihat jumlah kerusi, dia (BN) memang tidak perlukan kita (PN) lagi.
“Kalau dia nak selari dengan kerajaan Pusat, maka saya di blok kerajaan. Baru nampak keharmonian,” katanya, dipetik dari laporan tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd. Yadzil yang juga Naib Pengerusi PN Melaka berkata, kajian menunjukkan berlakunya perubahan undi yang besar kepada PN, meskipun BN menang besar dalam PRN Melaka.
“Banyak sokongan kepada BN telah ditarik balik. Mereka membentuk kerajaan pun disebabkan jumlah kerusi dan bukan dari segi undian. Jika lihat faktor ini, mereka perlu berfikiran jauh untuk memastikan kestabilan dan kemenangan yang lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya sendiri telah buktikan bahawa gabungan Melayu di Bemban dapat menghasilkan kemenangan dan merampas kerusi tradisi MCA. Sepatutnya mereka memandang juga kepada kemampuan PN,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Yadzil mengakui, berada di blok kerajaan adalah lebih mudah untuk beliau menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun tegasnya, beliau tidak akan memohon atau merayu dan tidak sesekali melompat parti kerana rakyat telah memberi mandat kepada PN di Bemban.
- Iktiraf seteru utama, hentam UMNO agenda utama PN – Muhyiddin
- PAS Syukur BN Menang PRN Melaka, UMNO Sahabat MN Kita – Mursyidul Am PAS
- PRN Melaka: Pemimpin PAS Kecewa Ahli Sokong BN, Akan Saran Parti Pecat Keahlian
- BN Yang Menang Tak Perlu Lantik EXCO Dari PN – Mohamad Hasan
- Idris Kecewa Gagal Kembali Jadi KM Melaka, Dapat Sokongan PH Tapi Tak Disokong UMNO