KUALA LUMPUR – “Tiada keperluan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka,” tegas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menjelaskan, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN berkenaan sebagai ahli EXCO dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

“Saya berpandangan, tiada keperluan mereka (ADUN PN) berada dalam barisan EXCO Melaka.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’? Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan.

“Jika kita tidak cukup kerusi betul la, tetapi kita sudah berlebihan kerusi, dalam kalangan kita juga sudah berlebih untuk dilantik sebagai EXCO. Jika dibawa kepada kepemimpinan parti saya akan tanya apa keperluannya kerana saya salah seorang pemimpin tertinggi parti, jika saya puas hati dengan jawapannya, itu okay,” katanya memetik BH.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kedudukan dua ADUN PN dalam barisan EXCO belum diputuskan.

Sulaiman berkata, perkara berkenaan perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepimimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN Melaka.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN, berkata bukan menjadi satu kejanggalan sekiranya persefahaman dan kerjasama antara parti berlaku di peringkat Persekutuan namun tidak pula di peringkat negeri.

“Terdapat di beberapa negara lain, di peringkat Kerajaan Persekutuan, mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak bersama. Itu bukan satu kejanggalan dan bukan baharu tetapi di Malaysia ia kali pertama.

“Jadi..kalau tidak ada apa-apa buat apa mahu pening-pening kepala, kalau kerajaan Melaka membentangkan, saya akan tanya, kalau mereka boleh nyatakan dan memaklumkan ada keperluan itu (lantik EXCO) kita setuju.

“Kita juga tidak mahu buat ia sukar untuk mana-mana pihak, tetapi justifikasinya mesti ada,” katanya.