PETALING JAYA – Petronas Gas Berhad (PGB) menutup suku ketiga 2021 dengan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM1.62 bilion, iaitu 4.0 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kukuh tersebut dipacu margin yang lebih kukuh daripada segmen utiliti dan pengegasan semulanya.
Menurut kenyataan, dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), PGB terus mengekalkan kebolehpercayaan yang tinggi di seluruh segmen perniagaan, menghasilkan penghantaran produk gas dan utiliti yang stabil kepada pelanggan.
“Segmen utiliti telah mendapat manfaat daripada perubahan harga bahan api berkuat kuasa November 2020, ketika peningkatan permintaan daripada pelanggan baharu dan sedia ada.
“Selain itu, segmen pengegasan semula merekodkan margin yang lebih tinggi di belakang aliran hasil baharu daripada perkhidmatan sampingan pengisian gas asli cecair (LNG) dan kos operasi yang lebih rendah,” kata kenyataan itu.
Perolehan dalam tempoh sembilan bulan PGB hingga 30 September 2021 berjumlah RM4.15 bilion, sedikit rendah berbanding RM4.2 bilion dicatatkan tahun lalu, disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen utiliti sejajar dengan harga produk yang lebih rendah di tengah-tengah volum jualan yang tinggi.
Keuntungan kasar bagaimanapun meningkat sebanyak 4.0 peratus daripada RM2.02 bilion kepada RM2.20 bilion dengan margin lebih kukuh daripada segmen utiliti dan pengegasan semula.
Mengulas prestasi PGB, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Othman berkata, margin kukuh yang dicatatkan dalam keputusan sembilan bulan tahun ini mencerminkan usaha berterusan pihaknya untuk meningkatkan kecekapan operasi dengan pengurusan kos yang lebih baik.
“Kami telah berjaya merasionalkan kos kami, malah dengan lebih banyak aktiviti loji dilaksanakan berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, membandingkan suku ketiga 2021 berbanding suku yang sama tahun lalu, hasil PGB telah meningkat sebanyak 1.0 peratus daripada RM1.41 bilion kepada RM1.43 bilion manakala keuntungan kasar meningkat 8.0 peratus daripada RM736 juta kepada RM793 juta.
PAT merosot sebanyak 3.0 peratus kerana keuntungan kasar yang lebih tinggi telah dinafikan berikutan kerugian pertukaran asing dengan merekodkan kerugian pertukaran asing tidak direalisasi sebanyak RM10.4 juta.
PGB turut mengumumkan dividen interim sebanyak 18 sen sesaham biasa untuk suku ketiga 2021, sama seperti dividen yang diumumkan dalam tempoh sama tahun lalu.- Utusan