Hamzah Pernah Cuba Tarik Tun M Masuk Bersatu Semula, Wan Saiful Tak Perlu Tegak Benang Basah – Pejuang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memulangkan paku buah keras kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dilihat cuba menegakkan benang yang basah dengan bertindak menafikan bahawa terdapat pihak dari Bersatu yang cuba memujuk pimpinan Pejuang kembali kepada parti lama itu.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin malah berkata, sekiranya tidak percaya perkara itu boleh diajukan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana beliau antara yang cuba memujuk Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Bersatu.

“Namun, prinsip kami bukan untuk dijual beli, tidak mungkin kami termakan dakyah dari mereka yang pernah mengkhianati mandat rakyat,” tegas Ulya Aqamah dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kata beliau, Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan beliau cuba menafikan dakwaan bahawa terdapat pihak dari Bersatu yang cuba memujuk mereka (Pejuang) kembali kepada parti lama itu.

Ujarnya, Wan Saiful juga menafikan bahawa terdapat tawaran kepada mereka yang kekal dalam parti Bersatu sebagai habuan kesetiaan.

“Usahlah menegakkan benang yang basah, hakikatnya masih lagi ada individu yang cuba menarik kami untuk pulang bersama Bersatu.

” Tanya sahaja Hamzah Zainuddin kerana beliau antara yang cuba memujuk Tun Mahathir kembali ke Bersatu. Namun, prinsip kami bukan untuk dijual beli, tidak mungkin kami termakan dakyah dari mereka yang pernah mengkhianati mandat rakyat.

” Wan Saiful juga perlu jujur dengan rakyat. Saudara sendiri ada di dalam mesyuarat dimana Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut “scheme of things” merujuk kepada habuan jawatan menteri dan GLC bagi mereka yang bersama dengan Bersatu,” kata Ulya Aqamah.

Buktinya, jelas beliau Kabinet kerajaan pintu belakang ini jelas terlalu besar walaupun tidak berfungsi.

Katanya lagi, berjuta wang rakyat dibazirkan untuk membayar gaji Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak memulangkan sebarang hasil, malahan lebih menyusahkan nasib rakyat.

“Ini semua demi memberi habuan supaya mendapat sokongan untuk kekal berkuasa.

” Ini uniknya perjuangan Pejuang. Kami bukan retorik semata-mata. Walau berjuang demi bangsa dan agama, kami memastikan tindakan kami selari dengan perbuatan kami. Kami menolak rasuah, salah guna kuasa dan enggan berkerjasama dengan mereka yang telah mengkhianati amanah rakyat. Kami kekal berprinsip tanpa sebarang kepentingan peribadi dan sanggup hilang segala kelebihan jawatan dan keistimewaan.

“Sebaiknya Wan Saiful fokus sahaja kepada isu kegagalan tadbir urus kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini. Dari peningkatan kes Covid-19 yang tidak terkawal, campur tangan politik dalam urusan polis negara sehinggalah kepada masalah sosio-ekonomi rakyat Malaysia yang jelas tidak terbela dengan dasar dan keputusan kerajaan yang tidak kompeten.

” Usah berbohong pada rakyat, apatah lagi masih dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” tegasnya.

Sebelum ini Wan Saiful berkata, dakwaan Dr Mahathir, bahawa beliau menerima tawaran dan ajakan untuk kembali ke Bersatu hanya sebagai satu cerita rekaan sahaja.

Katanya, beliau setakat ini juga tidak pernah mendengar terdapat pemimpin parti itu, bersetuju menyertai Pejuang sekiranya ditawarkan jumlah habuan tertentu, seperti yang didakwa Dr Mahathir.

“Saya tak pernah dengar kedua-dua isu (dakwaan) ini dalam Bersatu, jadi saya rasa cerita begini sengaja dibuat untuk menarik perhatian orang kepada sebuah parti serpihan yang tidak berjaya menarik perhatian sesiapa setakat ini.

“Pandangan saya, kalau Pejuang benar-benar nak berjuang, maka berjuanglah dengan agenda unik, tak payahlah asyik bercerita mengenai rumah lama sehingga nampak seolah-olah belum dapat ‘move on’ lagi.

“Apa kata kita sama-sama tumpukan tenaga untuk bantu Perdana Menteri, jaga rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat