MARA Lahirkan 645 Usahawan Kategori Platinum, Nilai Jualan Tahunan RM3.5 Bilion – Mahdzir

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya melahirkan 645 usahawan yang dikategorikan Usahawan Platinum dengan nilai jualan tahunan mereka mencecah RM3.5 bilion.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, usahawan tersebut juga berjaya menyediakan 21,457 peluang pekerjaan.

“MARA juga bertindak sebagai penggerak utama memimpin usahawan Bumiputera daripada hanya menjadi Regional Champion kepada Global Champion.

“MARA sentiasa mencari peluang dan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, kementerian, pihak swasta, pemain industri dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2021-2022 di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, sejak Covid-19 melanda negara, MARA telah melaksanakan pelbagai program bagi membantu usahawan untuk memastikan kelangsungan perniagaan usahawan di bawahnya.

Antara inisiatifnya termasuk pengecualian bayaran sewa dan kadar bayaran sewaan premis MARA hanya 30 peratus yang melibatkan 5,971 penyewa.

“Tahun lalu, impak Covid-19 hanya melibatkan 3 peratus sahaja usahawan yang menutup operasi perniagaan. Proses kebangkitan semula usahawan ini turut disokong dengan penyaluran peruntukan tahun 2022 berjumlah RM398.5 juta.

“Sehingga bulan lalu, seramai 12,812 usahawan telah menerima manfaat kemudahan yang disediakan dengan jumlah kelulusan permohonan sebanyak RM464 juta,” katanya lagi.

Tambah Mahdzir, program keusahawanan MARA turut dilengkapi ekosisten sewaan lot-lot perniagaan kepada usahawan.

Setakat ini sejumlah 6,680 daripada keseluruhan 7,317 lot perniagaan MARA diisi oleh usahawan dengan janaan sewaan tahunan lebih RM1 bilion.

Sementara itu, 19 usahawan bimbingan MARA menerima pengiktirafan dan penghargaan pada Majlis AURA 2021/2022 menerusi 19 kategori melibatkan 247 pencalonan.

Antara kategorinya, Anugerah Kekal Cabaran, Ikon Usahawan Global, Anugerah Khas Keusahawanan Sosial, Jenama Terbaik dan Tokoh Usahawan.

“Skop penganugerahan kali ini lebih luas berbanding penganjuran lepas yang membolehkan kita menerima lebih banyak penyertaan daripada kategori berbeza.

“Anugerah ini merupakan satu platform untuk mereka terus menyerlahkan jenama ke tahap yang lebih baik dan bersaing dengan pemain industri yang lain,” kata Mahdzir.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut melancarkan e-buku ‘Usahawan Platinum MARA’ yang mengandungi senarai kompilasi usahawan jutawan MARA.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,477FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat