Pengusaha Kek Lapis Sarawak harap musim pilihan raya bawa pulangan tinggi hasil jualan

KUCHING – Negeri Sarawak juga merupakan sebuah negeri yang menjadi destinasi pelancongan yang menjanjikan pelbagai jenis cenderahati dan barangan yang istimewa untuk dibawa pulang oleh pelancong tidak kira dari dalam atau luar negara.

Di Bandaraya Kuching, Kek Lapis Sarawak merupakan antara cenderahati makanan yang wajib dibeli dan dibawa balik oleh para pelancong terutamanya yang datang dari Semenanjung Malaysia.

Aneka jenis kek dengan pelbagai rasa dan warna menjadi pilihan para pengunjung yang datang ke negeri ini untuk pelbagai tujuan sama ada bekerja atau sekadar melawat.

Bagi pengusaha kek lapis di sekitar kawasan Kuching Waterfront berdekatan dengan bangunan ikonik Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, musim Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini diharapkan akan membawa pulangan yang lebih bagi mereka.

Petugas kedai Kek Lapis Mama Su Taufiqullah Iman, 20, menyifatkan musim mengundi di negeri Sarawak merupakan satu tempoh yang menarik kerana kek lapis di Kuching akan menerima permintaan yang banyak serta ramai orang akan berkunjung ke kedai untuk mendapatkan kek lapis kegemaran mereka.

Beliau berkata pada PRN lepas iaitu pada tahun 2021, permintaan dan jualan kek lapis Mama Su meningkat jauh ketara berbanding hari-hari biasa atau perayaan lain kerana ramai orang datang ke kedai mereka dari jauh semata-mata untuk mencari kek lapis.

“Seperti PRN sebelum ini, pengunjung kedai kami memang ramai dari Semenanjung dan selepas PRN kali ini mungkin akan lebih ramai lagi akan datang,” katanya kepada Suara TV.

Menurut Taufiqullah, tempahan yang tinggi bukan sahaja diterima daripada pengunjung dari Semenanjung tetapi dari pemastautin tetap di Kuching yang akan balik mengundi di kampung mereka juga akan menempah kek dengan banyak kerana kiriman keluarga di kampung.

“Seperti saya sendiri, tempat mengundi saya ialah di Bintulu dan saya bekerja di Kuching. Orang dari Bintulu sudah ramai membuat tempahan dari saya untuk dibawa pulang kepada mereka.

“Orang Sarawak yang menetap di Semenanjung yang akan balik mengundi juga akan membeli banyak kek lapis untuk dibawa ke Semenanjung untuk diberikan sebagai buah tangan kepada keluarga dan sahabat-sahabat mereka,” katanya.

Bagi petugas Mira Cake House Kek Lapis Sarawak Marliana Jamaluddin pula, jenama Mira Cake House pula sememangnya sudah popular di Sarawak dan Semenanjung kerana di Kuala Lumpur ada kedai yang menjual kek berkenaan di sana.

Bagaimanapun, Marliana berkata orang ramai tetap akan ke Kuching untuk datang sendiri ke waterfront dan kemudian bertandang ke kedai untuk membeli kek.

“Musim orang balik mengundi kali ini, kita berharap ketika musim PRN ini, jualan kita akan meningkat dan kek lapis akan menjadi salah satu pilihan utama kepada yang datang balik mengundi atau pun pelancong yang akan datang ketika musim pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata pengunjung di kedai Mira Cake House ada pilihan rasa kek yang digemari dan perasa kek berkenaan biasanya akan cepat habis terjual.

“Antara kek yang menjadi pilihan utama di Mira Cake House ialah Masam Manis, Sisik Ikan dan yang paling popular ialah Hati Pari,” katanya.

Sebuah lagi kedai kek lapis di kawasan waterfront Maria Kek Lapis turut sama mempunyai harapan untuk melihat jualan kek lapis mereka meningkat ketika musim pilihan raya.

Petugas Maria Kek Lapis, Juliana Udin berkata mereka sudah bersedia dengan stok kek lapis yang lebih banyak untuk menampung permintaan pengunjung dan juga pelancong yang datang ketika musim pilihan raya kali ini.

“Orang Sarawak juga ramai yang ada menetap di Semenanjung akan balik nanti dan mereka juga akan datang ke kedai dan membeli kek lapis sebagai buah tangan di bawa pulang ke Semenanjung.

“Kawasan di sekitar waterfront ini sudah popular sebagai tempat para pelancong datang dan bersiar-siar di tepi sungai dan kemudian akan datang ke kawasan kedai menjual kek lapis untuk membeli-belah pula,” katanya.

Deretan kedai di kawasan ini bukan sahaja ada kedai kek lapis malah ada kedai yang menjual cenderahati Sarawak, pakaian, kraftangan dan kafe hipster bagi penggemar kopi.

Hari penamaan calon PRN Sarawak ke-13 sudah pun berlangsung semalam, hari mengundi awal ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah pada 8 Disember manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Disember. – Suara TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat