Pembangkang gesa Kerajaan Johor adakan Sidang DUN, sokong RUU antilompat parti

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor digesa meminda Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan rang undang-undang (RUU) antilompat parti dapat dilaksana diperingkat Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Ketua Pembangkang, Liew Chin Tong berkata, bagi menjayakan enakmen larangan lompat parti di peringkat negeri, satu sidang DUN perlu diadakan segera bagi menyokong isu berkenaan.

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan di Parlimen pada hari Khamis yang lalu hanya terpakai untuk Ahli Parlimen sahaja. Untuk menguatkuasakan larangan lompat parti di peringkat DUN, undang-undang tubuh negeri masing-masing perlu dipinda.

“Oleh itu, saya menyeru agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memberi komitmen penuh untuk memanggil wakil rakyat bagi sidang DUN diadakan supaya Undang-undang Tubuh Negeri dapat dipinda untuk pelaksanaan larangan lompat parti.

“Blok pembangkang sedia menyokong cadangan enakmen pindaan undang-undang tubuh negeri oleh Kerajaan Negeri yang selaras dengan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Terdahulu pada Sabtu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap lima kerajaan negeri dikuasai UMNO iaitu Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan Perak dapat meminda perlembagaan negeri masing-masing.

Ia bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Seterusnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata empat negeri iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah menyatakan hasrat untuk meminda secepat mungkin undang-undang tubuh negeri masing-masing.

– Artikel Asal Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,586FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat