Kerajaan Perlu Berhati-Hati Guna Ruang Fiskal Yang Ada – Pakar Ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disarank mengambil langkah berhati-hati dalam menggunakan setiap ruang fiskal yang ada selepas pelbagai pakej rangsangan dan bantuan tidak langsung telah disalurkan bagi mengurangkan impak krisis kesihatan susulan pandemik COVID-19.

Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Mohd Yusof Saari berkata ia bagi memastikan suntikan fiskal berkenaan mampu memberi impak yang maksima.

Pada masa sama, suntikan berkenaan membantu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pada masa akan datang, tambah beliau.

“Saya melihat bahawa kita juga perlu berhati-hati dalam menggunakan setiap ruang fiskal yang kita ada atau suntikan langsung kepada ekonomi kerana kita kena faham banyak pakej rangsangan sebelum ini melibatkan suntikan tidak langsung seperti moratorium dan iSinar. Itu adalah suntikan tidak langsung oleh kerajaan. Manakala, suntikan langsung oleh kerajaan seperti bantuan isu rumah atau wang-wang tunai lain.

“Kita bimbang juga jika kita terlalu ghairah untuk berbelanja dan memberi suntikan, ia nanti boleh memberi kesan sampingan untuk tahun-tahun akan datang kepada ekonomi dan kerajaan,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kerajaan akan mengusulkan cadangan pindaan bagi melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara.

Sehingga akhir Jun tahun ini, paras hutang statutori telah mencecah 56.8 peratus, namun ia masih di bawah had statutori 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibenarkan.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata kebergantungan terhadap suntikan fiskal semata-mata adalah tidak mencukupi, sebaliknya tumpuan perlu diberikan untuk memastikan sektor ekonomi kembali dibuka.

Katanya, pembukaan ekonomi akan membuka peluang pekerjaan, sekali gus menambah pendapatan rakyat.

Berkenaan cadangan untuk memperkenalkan cukai terhadap keuntungan luar biasa pula, Mohd Yusof menyifatkan ia satu cadangan yang baik berbanding memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Jelas beliau, ketika ini masih terdapat segelintir syarikat yang menikmati manfaat daripada situasi pandemik.

“Saya berpandangan positif kerana ketika mana kita menangani perkara luar jangka seperti ini, kita juga memerlukan pelan luar jangka termasuk percukaian.

“Jadi, saya kira itu satu keadaan yang baik daripada kita memperkenalkan semula GST. Maksudnya, kita mengenakan cukai yang lebih kepada mereka atau perniagaan yang mendapat keuntungan besar ketika pandemik COVID-19,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusof berpandangan kajian menyeluruh perlu dilakukan ke atas semua pakej-pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan dalam menentukan keberkesanan dan menambahbaik inisiatif tersebut.

Malaysia memasuki hari ke-500 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.

Sehingga kini, kerajaan melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi dengan nilai melebihi RM530 bilion, termasuk lebih RM80 bilion suntikan fiskal kerajaan.

Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat