Bekas Setiausaha Bersatu Arau Tak Mengaku Salah Kes Curi, Pecah Amanah

- Advertisement -

KANGAR – Bekas Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan membabitkan kes pecah amanah, tipu dan mencuri sekitar tahun 2019, 2020 dan pada tahun ini.

Tertuduh Ismarizal Abd Rahman, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, Ismarizal didakwa menipu seorang wanita pada 11, 14, 19 dan 30 September 2019 di Arau dengan memperdayanya untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu mendapatkan projek pembangunan daripada agensi kerajaan dengan pembayaran kepada satu penama untuk tujuan melobi.

Tertuduh secara tidak jujur telah mendorong wanita tersebut untuk menyerahkan wang masing-masing sebanyak RM800, RM2,500, RM5,100 dan RM1,000 pada keempat-empat pertemuan tersebut.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun serta maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh juga didakwa mencuri seutas loket emas seberat 27.56 gram bernilai kira-kira RM6,232 milik wanita yang sama di sebuah kedai emas di Arau pada 6 Januari tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan pecah amanah dengan menjual 11,594 beg minyak masak bernilai RM34,782 yang diamanahkan kepadanya di Taman Desa Pauh, Arau antara 3 Mei hingga 13 Jun tahun ini.

Atas tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying dan tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan.

Mahkamah telah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak dijamin dan kes tersebut akan disebut semula pada 3 September depan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat