KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran segera melaksanakan polisi satu komputer riba untuk satu siswa tak berkemampuan,” cadang Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Lim Wei Jiet.

Katanya, video viral seorang pensyarah yang mengecam seorang siswa B40 kerana tidak memiliki komputer riba biarpun sudah berada di semester ke-5 sebenarnya mendedahkan isu kronik pendidikan tinggi negara – iaitu ketiadaan peranti berkualiti untuk mengakses pembelajaran oleh golongan siswa B40 dan tidak berkemampuan.

Wei Jiet berkata, kini boleh dikatakan komputer riba keperluan asas untuk setiap siswa.

“Lebih-lebih lagi dalam wabak Covid-19 di mana pembelajaran kebanyakannya dijalankan secara dalam talian (online). Ini belum termasuk lagi betapa pentingnya komputer riba untuk menyiapkan tugasan bertulis, menyediakan persembahan powerpoint, dan sebagainya.

“Kerajaan dan institut pengajian tinggi mempunyai tanggungjawab untuk memastikan “equal playing field” untuk semua siswa,” tegas beliau.

Wei Jiet memberitahu seorang siswa B40 tidak seharusnya diletakkan dalam keadaan di mana beliau terpaksa bergantung kepada jasa baik rakan kursus universiti untuk meminjam laptop dan seterusnya ketinggalan dalam pembelajaran.

“Oleh itu, MUDA menggesa kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya untuk merangka polisi di mana setiap seorang siswa B40 atau tidak berkemampuan di semua IPTA dan IPTS diberikan seunit komputer riba. Komputer riba tersebut haruslah berkualiti, sesuai untuk pendidikan tinggi dan tahan lama.

“Sejak tahun 2021, Kerajaan Singapura telah melaksanakan polisi memberikan sebuah laptop atau tablet kepada semua pelajar sekolah menengah di negara tersebut,” beritahu Wei Jiet.

Malah, ujarnya terdapat banyak kerajaan dan universiti-universiti luar negara yang memberikan pinjaman wang tanpa faedah (interest free loan) kepada siswa mereka untuk membeli laptop, dan pinjaman ini hanya perlu dibayar balik secara ansuran selepas mempunyai pekerjaan.

“Ramai yang akan tanya – berbaloikah berbelanja wang kerajaan sebegini? Tetapi jika ramai siswa yang tercicir (seramai 17,613 siswa telah tercirir pada tahun 2021 mengikut statistik KPT) ataupun terpaksa mengulangi semester akibat ketiadaan peranti untuk pembelajaran, sudah tentu kos dan impak negatif kepada negara dari aspek ekonomi dan sosial pada 5 atau 10 tahun akan datang sudah tentu jauh lebih tinggi dari kos RM2,000 hingga RM3,000 untuk seunit komputer riba berkualiti hari ini.

“Ini belum mengambilkira lagi faktor stress, kemurungan, gangguan mental dan hilang minat terhadap pembelajaran akibat tiadanya peranti untuk mengikuti pembelajaran, yang sudah tentu akan ada kos negatif kepada negara untuk jangka panjang,” ujarnya.

Jika polisi ini dilaksanakan dengan sistem tender yang telus dan pembelian secara pukal, sudah tentu kos komputer riba boleh diturunkan lagi, katanya.

“Sudah tentu kerajaan sudah belajar daripada segala pengalaman dan kesilapan dalam pengedaran 150,000 komputer riba kepada pelajar di 500 sekolah yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

“Pendek kata, pendidikan merupakan salah satu pemacu negara yang tidak harus dikompromi dan sudah pasti akan mendatangkan kebaikan yang berlipat ganda.

“Walaupun bukan kesemua masalah siswa di IPTA dan IPTS boleh diselesaikan dengan pemberian seunit laptop, tetapi ini merupakan suatu permulaan baik,” katanya.

Hal demikian, kata Wei Jiet lagi MUDA berharap kerajaan dapat mengambil kira cadangan ini demi masa depan anak-anak kita semua.