KUALA LUMPUR – “Sampaikan salam kepada YB Syed Saddiq, minta dia segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen,” pesan penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman kepada kumpulan wartawan ketika tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pagi tadi.

Penyanyi dan komposer itu berdepan dua pertuduhan atas kesalahan menanam 17 pokok ganja di kediamannya.

Yasin meminta Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengusahakan agar ganja perubatan diluluskan di Parlimen.

Memetik Malaysiakini, kegiatan menanam ganja dijalankan penyanyi terbabit terbongkar selepas kediamannya diserbu polis pada 24 Mac lalu.

Polis menemukan 17 pokok dalam pasu dan tanah disyaki ganja di bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju miliknya.

Selain itu, polis turut menemukan dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Yasin akan didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah berbahaya.

Untuk rekod, kira-kira dua tahun lalu, Yasin pernah mendedahkan dirinya menghidap bipolar dan pernah dirawat di wad psikiatri hospital Kuala Lumpur selama dua minggu.

Tahun lalu Syed Saddiq meminta Kementerian Kesihatan menjelaskan pendirian kerajaan mengenai penggunaan hem atau “ganja perubatan” sebagai ubat alternatif kepada pesakit.

Menurut Syed Saddiq, perkara itu telah dilaksanakan di banyak negara dan diiktiraf oleh komuniti perubatan antarabangsa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam jawapannya berkata produk mengandungi ganja yang digunakan untuk tujuan perubatan boleh diimport dan digunakan di Malaysia jika mematuhi keperluan undang-undang.