KKM Akan Ambil Sampel Air Kumbahan Pesawat Dari China Untuk Ujian PCR Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil sampel air kumbahan dari pesawat yang datang di negara China selain survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata,sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.

“Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan demam.

“Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula. Sekiranya disyaki Covid-19, ujian Covid-19 akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Dr Zaliha, KKM merujuk laporan mingguan situasi Covid-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana sebanyak 148,659 kes positif Covid-19 dengan 442 kes kematian bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 (11 hingga 17 Disember 2022) telah dilaporkan di negara China.

“Secara keseluruhannya, trend pelaporan kes Covid-19 berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Sehingga 24 Disember 2022, sebahagian bear varian SARS-CoV-2 yang dikesan di Malaysia adalah varian Omicron (66.17 peratus), dikuti oleh varian Delta (32.69 peratus), Beta (1.06 peratus); dan Alpha (0.08 peratus). Daripada kumulatif varian Omicron yang dikesan, 61.6 peratus adalah subvarian BA.5.2 dan 10.8 peratus adalah subvarian XBB.1 dan tiga kes subvarian BF.7. Walau bagaimanapun, tiada peningkatan mendadak di dalam jumlah kes Covid-19 di dalam negara serta kes yang memerlukan kemasukan ke hospital kesan daripada langkah-langkah kesihatan awam dan imuniti kelompok yang terhasil daripada liputan vaksinasi Covid-19 yang luas,” jelas beliau.

Mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes COVID-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Dalam memperkukuhkan survelan Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, ujian lanjut ke atas sampel positif Covid-19 menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) dilaksanakan bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

Kata Dr Zaliha lagi, survelan ke atas sampel bagi kes influenza-like illness (ILI) di 59 buah klinik sentinel dan severe acute respiratory infection (SARI) di 18 buah hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan.

“Bagi tujuan ini, sampel ILI dihantar ke Makmal Kesihatan Awam seluruh negara, manakala sampel SARI dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian PCR dan seterusnya dijalankan penjujukan genom (WGS) sekiranya positif Covid-19.

“Bagi mempertingkatkan pengesanan sebarang varian baharu juga, semua kes ILI dan SARI yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir, atau mempunyai sejarah kontak dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir akan dibuat ujian RTK-Ag Covid-19 dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat