KUALA LUMPUR, – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan dakwaan bahawa RM100 mencukupi untuk menampung kehidupan sebulan pasangan warga emas sebagai sesuatu yang “ajaib” dan tidak masuk akal.
Dalam catatan di Facebook bertajuk “Berfikir Elak Cirit-birit Mulut”, beliau mengingatkan ahli politik supaya lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan awam, kerana kata-kata yang tidak berpijak di bumi nyata hanya menjadikan mereka bahan ketawa masyarakat.
“Dakwaan yang RM100 cukup untuk sebulan bagi dua orang tua yang hidup bersama adalah keajaiban. Benda-benda ajaib ini selalunya tidak masuk akal sebab ia bukan daripada akal yang rasional,” katanya.
Kenyataan mengenai RM100 itu sebelum ini dikaitkan dengan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh, ketika membicarakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Menurut beliau, jumlah berkenaan mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tetapi boleh memberi makna besar bagi pasangan warga emas yang hidup secara sederhana. Pandangan itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan hangat kerana dianggap tidak selari dengan realiti kos sara hidup hari ini.
Kadir menegaskan, otak sebagai anugerah Tuhan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk melahirkan hujah bernas, bukan “cirit-birit mulut” yang hanya merosakkan imej diri. Beliau juga mengaitkan kelemahan budaya membaca sebagai punca kenyataan dangkal sering dihamburkan, malah ada yang akhirnya berdepan tindakan undang-undang.
Beliau turut menggesa mutu perbahasan Parlimen dipertingkatkan, mencontohi wakil seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Hassan Abdul Karim dan Azalina Othman Said. Jika tidak, katanya, lebih baik sesi Parlimen tidak lagi disiarkan secara langsung kerana terlalu banyak maki hamun dan penghujahan tidak bermutu.



