Terima 12 aduan, Bukit Aman siasat Zahid caci badan kehakiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa mencaci dan memfitnah badan kehakiman ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Sabtu lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner A Skandaguru, berkata siasatan dijalankan susulan 12 laporan polis yang diterima di seluruh negara membabitkan perkara itu.

“Siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan satu laporan polis dibuat oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) terhadap Zahid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada sesi taklimat itu.

Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Mohd Sany Hamzan dipetik berkata, klip video dan teks ucapan Zahid di majlis itu tersebar luas di media sosial.

Katanya, laporan dibuat supaya polis menjalankan siasatan terhadap Zahid serta beberapa individu lain yang turut berucap dalam majlis sama selain menyiasat pihak yang memuat naik ucapan serta pihak menganjurkan majlis berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,497FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat