KPT tegaskan dana penyelidikan RM225 juta tidak hilang

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan dana penyelidikan berjumlah RM225 juta tidak hilang, sebaliknya merupakan baki dana terkumpul daripada pelaksanaan ribuan projek penyelidikan sejak 2006.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki dana berkenaan mewakili 3.65 peratus daripada keseluruhan peruntukan penyelidikan sepanjang hampir dua dekad.

Menurut kementerian itu, baki dana tersebut terhasil daripada penjimatan kos pelaksanaan, pelarasan keperluan penyelidikan, penyiapan projek lebih awal serta faktor teknikal dan pentadbiran lain tanpa menjejaskan pencapaian objektif asal penyelidikan.

“Baki dana tersebut mewakili 3.65 peratus daripada keseluruhan peruntukan penyelidikan sepanjang dua dekad ini dan disimpan dalam akaun berasingan di IPT serta tertakluk kepada kawal selia, tatacara kewangan Kerajaan serta kelulusan KPT,” menurut kenyataan itu.

KPT berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), selain menyatakan komitmen untuk menangani kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti.

Menurut KPT, cadangan penggunaan semula baki dana penyelidikan berkenaan melibatkan 20 universiti awam (UA) dan 41 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Katanya, isu berkenaan sebelum ini turut dibangkitkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan beberapa langkah telah diambil bagi membolehkan baki dana tersebut dimanfaatkan semula.

Pada 11 Februari lalu, Kementerian Kewangan memberikan kelulusan secara sekali sahaja (one-off), tertakluk kepada pewujudan mekanisme pengurusan yang jelas.

Susulan itu, Jemaah Menteri pada 4 Mac menetapkan supaya cadangan penggunaan semula baki dana dikemukakan sebelum meluluskan mekanisme, tatacara pengurusan dan agihan baki dana berkenaan pada 18 September lalu.

“Penggunaan semula dana akan dilaksanakan secara telus, berstruktur dan dengan pemantauan berkala tanpa mengubah tujuan asal peruntukan R&D.

“Berdasarkan penjelasan tersebut, jelas menunjukkan bahawa soal kehilangan dana penyelidikan berjumlah RM225 juta adalah tidak timbul,” menurut kenyataan itu.

KPT turut memberi komitmen untuk terus bekerjasama dengan PAC, Jabatan Audit Negara dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap syor penambahbaikan dilaksanakan berdasarkan fakta yang jelas.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat