Kepimpinan Baru Jadi Pemangkin Ke Arah Pemulihan Ekonomi Negara – Penganalisis

- Advertisement -

PETALING JAYA – Pembentukan kepemimpinan baharu barisan kabinet di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi di tengah-tengah situasi pandemik ini.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harapan besar diberikan kepada pimpinan Ismail Sabri dalam tempoh 100 hari seperti yang disasarkan dalam ucapan pengumuman barisan kabinet baru-baru ini.

Ujarnya, pembentukan tersebut melegakan ramai pihak setelah melalui ketidaktentuan yang berterusan selama beberapa bulan.

“Pengukuhan nilai ringgit dan indeks pasaran saham pada minggu lalu merupakan antara reaksi positif setelah pelantikan Perdana Menteri.

“Ini kerana ketidakstabilan politik yang memuncak sehinggalah peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan negara dalam krisis yang berganda, iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan barisan kabinet di bawah pentadbirannya yang antara lain mengekalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan dan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Sepanjang minggu lalu, FBM KLCI mencatat peningkatan berterusan setelah merudum selepas kemelut politik melanda negara.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi memaklumkan, Malaysia masih merupakan tarikan utama kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan kerana mempunyai rekod yang baik selepas berjaya keluar daripada setiap kemelesetan ekonomi dengan jayanya.

“Lebih memberangsangkan, prestasi Bursa Malaysia turut mencapai tahap yang lebih tinggi berbanding sebelum krisis berlaku.

“Inilah yang menjadi sandaran keyakinan kepada rakyat dan para pelabur untuk terus bersifat positif setiap kali Malaysia melalui krisis-krisis sebelum ini,” ujarnya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat