Perak Umum Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Tambahan

- Advertisement -

IPOH – Kerajaan Perak hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) tambahan berjumlah RM34.8 juta sebagai inisiatif membantu berdepan situasi pandemik yang masih mencengkam rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia adalah pakej tambahan selepas pelaksanaan dua PRE terdahulu membabitkan implikasi kewangan sebanyak lebih RM200 juta sejak tahun lalu.

“Kerajaan negeri sangat memahami kesusahan rakyat yang akibat pandemik COVID-19, atas kesedaran ini kita melaksanakan dua PRE sejak tahun lalu membabitkan implikasi kewangan sebanyak lebih RM200 juta.

“Menyedari situasi pandemik ini yang masih mencengkam kehidupan segenap lapisan rakyat dan keperluan untuk memulihkan semula ekonomi rakyat, saya dengan sukacitanya mengumumkan inisiatif tambahan yang membabitkan RM34.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini.

Saarani berkata, antaranya adalah insentif berkaitan cukai tanah mulai 1 September sehingga 31 Disember tahun ini yang bernilai RM30.9 juta.

Selain itu, beliau berkata, bantuan ‘one-off’ kepada 4,000 mahasiswa anak Perak berjumlah RM400 ribu seperti dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering ketika sesi penggulungan.

“Bantuan ini akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu 2,000 penerima bagi bantuan kewangan umum secara one-off sebanyak RM150 seorang dan pengenalan insentif baharu membabitkan baucar tebus tiket pengangkutan awam sebanyak RM50 juga kepada 2,000 penerima.

“Bantuan ini secara tidak langsung akan dapat membantu kira-kira 4,000 mahasiswa anak Perak daripada keluarga B40 dan M40 yang memenuhi prasyarat yang ditetapkan untuk persediaan kemasukan Oktober,” katanya.

Selain itu, Saarani berkata, bantuan tambahan kepada Maahad Tahfiz berjumlah RM3.5 juta seperti bantuan pengurusan sama rata RM10,000 kepada setiap 144 buah Maahad Tahfiz membabitkan peruntukan RM1.44 juta.

“Ia merangkumi bantuan tambahan pengurusan berasaskan bilangan pelajar dengan kadar perkapita RM200 seorang membabitkan 5,291 pelajar dengan jumlah peruntukan RM1,058,200.

“Dan bantuan one-off RM1,000 bagi setiap 819 orang guru dengan jumlah peruntukan RM819,000 dan sumbangan kepada Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMATAP) berjumlah RM182,800,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rintihan yang tular di media massa mengenai nasib sekolah Maahad Tahfiz yang dilaporkan menghadapi masalah kewangan akibat pandemik COVID-19. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,556FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat