GUA MUSANG,– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah turun padang ke Kampung Sungai Relai, Gua Musang baru-baru ini bagi mendengar sendiri keluhan penduduk yang berdepan dengan masalah liputan komunikasi yang lemah di kawasan tersebut.
Dalam lawatan itu, MCMC menjalankan pemeriksaan terhadap infrastruktur sedia ada dan mendapati terdapat sebuah menara komunikasi setinggi 76 meter di kampung berkenaan. Namun, menara itu hanya digunakan sebagai laluan gelombang mikro yang menghubungkan dua menara di lokasi berbeza, tanpa menyediakan sebarang liputan rangkaian kepada pengguna di sekitarnya.
Ujian kualiti perkhidmatan selular turut dilakukan dan mengesahkan bahawa tiada liputan komunikasi tersedia di kawasan tersebut.
Susulan penemuan itu, MCMC telah mengemukakan Notis Suruhanjaya di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kepada semua penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian liputan yang ditetapkan bagi kawasan berkenaan.
Sebagai langkah jangka panjang, MCMC telah mengenal pasti tapak cadangan baharu untuk pembinaan menara komunikasi yang akan memberi liputan lebih menyeluruh kepada penduduk melalui pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan datang.
Selain itu, MCMC juga sedang berbincang dengan pihak penyedia perkhidmatan agar menara sedia ada dinaik taraf bagi menyediakan liputan 4G menerusi sambungan gentian optik yang lebih stabil dan berkesan.
MCMC memberi jaminan akan terus memantau perkembangan projek ini dan kekal komited dalam usaha memastikan penduduk Kampung Sungai Relai menikmati akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti dan menyeluruh.



