Risiko tercicir subsidi bersasar jika tidak kemaskini data PADU

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka yang tidak mengemas kini maklumat di Pangkalan Data Utama (PADU) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 2 Januari ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata bagaimanapun mereka terbabit berisiko untuk tercicir daripada menerima subsidi bersasar yang akan menggunakan data dikemas kini dalam PADU kelak.

Beliau berkata, risiko keciciran boleh berlaku memandangkan kerajaan hanya menggunakan maklumat sedia ada dan maklumat yang dikemas kini dalam PADU untuk menentukan profil isi rumah dan kelayakan bagi mereka yang layak untuk mendapatkan subsidi bersasar atau sebaliknya.

“Mengikut mandatnya (PADU) adalah menyediakan profil isi rumah paling tepat bagi penyasaran semula subsidi.

“Jika tidak kemas kini (data) tiada masalah, tetapi kalau anda tidak dapat (subsidi) jangan marahlah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada apa-apa tindakan boleh dikenakan jika orang ramai tidak mengemas kini data mereka di PADU.

Rafizi berkata, PADU akan dilancarkan pada 2 Januari ini oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akses dibuka kepada orang ramai mulai tarikh itu untuk kemas kini sehingga 31 Mac 2024.

Difahamkan, orang ramai akan boleh mula mengemas kini data masing-masing dalam tempoh itu di lokasi tertentu.

Beliau berkata, PADU adalah komponen utama kepada rancangan besar penstrukturan ekonomi kerajaan dan ia adalah pangkalan data utama yang akan mempunyai profil setiap individu dan isi rumah yang akan menjadi rujukan dalam penentuan penyasaran semula subsidi atau bantuan lain pada masa depan.

Katanya, data dalam PADU yang dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Negara merangkumi hampir 300 jenis data di bawah Kerajaan Persekutuan.

Pada masa sama, katanya, data di bawah kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan dimasukkan beransur-ansur.

Mengulas sama ada data perbankan akan juga termasuk dalam data PADU, Rafizi berkata, pangkalan data itu tidak termasuk data perbankan.

Ia kerana, katanya, Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) tidak membenarkan data berkenaan digunakan oleh sesiapa.

Selain itu, beliau berkata, sempena pelancaran PADU minggu depan itu, 3,000 orang yang terawal mendaftar dan mengemas kini data di PADU akan terima kad NFC Touch ‘n Go secara percuma.

Malah, katanya, pasar raya Mydin juga menawarkan diskaun kepada mereka yang mendaftar di PADU.

Mengenai pengurusan data dalam PADU, Rafizi berkata walaupun semua agensi menyumbang data, bukan semua agensi boleh ambil semua data untuk kegunaan sendiri.

Beliau berkata, pemunya atau pemilik data telah ditentukan oleh akta tertentu dan menerusi PADU, pemilikan terhadap data itu tidak ada perubahan.

Justeru, katanya, data yang ada dalam PADU hanya digunakan oleh agensi tertentu mengikut kes penggunaan dan bukan sewenang-wenangnya.

“Pemilikan data masih dikawal oleh akta jabatan atau agensi kerajaan masing-masing. Bagaimana untuk berkongsi data antara agensi akan ditentukan kerajaan mengikut matlamat penggunaan. Kes penggunaan pertama hanyalah penyasaran subsidi.

“Justeru, tidak ada persoalan mengenai data ini dikongsikan dengan mana-mana pihak kerana ia bertentangan dengan undang-undang,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat