KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham didesak menarik semula cadangan karut untuk melibatkan pakar Perlembagaan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dan memohon maaf secara terbuka.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan saranan Koo Ham itu sebagai melampau dan tidak celik Perlembagaan.
“Apakah Koo Ham sedar bahawa cadangan beliau ini boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang Islam di negara ini?
“Koo Ham perlu menarik semula cadangan karut ini dan memohon maaf secara terbuka!
“Kenyataan Ahli Parlimen Beruas daripada DAP itu mengenai cadangan untuk melibatkan pakar Perlembagaan bukan Islam ke dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam adalah melampau dan tidak celik Perlembagaan,” bidas beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Wan Fayhsal menegaskan, sebagai seorang Ahli Parlimen, Ngeh sepatutnya tahu bahawa urusan berkaitan hal ehwal agama Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Kata Ahli Parlimen Machang itu, Undang-undang Syariah perlu dirunding, diurus, ditadbir dan dikuatkuasakan oleh orang Islam semata-mata. Ia sama sekali tidak menyentuh orang bukan Islam.
“Cadangan Koo Ham boleh menimbulkan kegusaran awam khususnya di kalangan umat Islam kerana keterlibatan orang bukan Islam dalam mengkaji kompetensi DUN dalam menggubal undang-undang Islam boleh dilihat sebagai suatu permulaan campur tangan oleh orang bukan Islam terhadap urusan agama Islam.
“Sekiranya Koo Ham benar-benar bimbang mengenai kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam, boleh sahaja beliau mencadangkan pakar-pakar Perlembagaan yang beragama Islam,” katanya.
Pun begitu kata beliau, persoalannya mengapa Ngeh perlu mencadangkan pakar perlembagaan bukan Islam untuk menyertai Jawatankuasa ini?
“Jawatankuasa ini sudah pun mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan telah pun memulakan tugas mereka,” ujar beliau.