14 Daerah Di Lima Negeri Masih Terkesan Dengan Banjir – NADMA

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Sebanyak lima negeri membabitkan 14 daerah masing-masing di Kelantan, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masih terkesan dengan banjir setakat hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini berkata, setakat tengah hari tadi, seramai 9,414 orang mangsa daripada 2,708 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan masih berlindung di 93 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kumulatif mangsa terkesan bencana banjir di seluruh negara adalah seramai 116,273 orang daripada 31,949 KIR.

“Sehingga pukul 2 petang tadi, operasi banjir seluruh negara melibatkan keanggotaan 40,813 orang anggota agensi responder menggunakan sejumlah 3,419 gabungan aset pelbagai agensi.

“Bagi edaran bekalan makanan pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat 465,092 pek makanan berbungkus yang disediakan sebanyak tiga kali sehari termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir,” katanya.

Dalam pada itu, NADMA berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut melaporkan 121 insiden tanah runtuh berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 sehingga ke hari ini.

“Pihak JMG telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“JMG dan JKR diminta untuk menyelaras pelaporan tanah runtuh supaya ia lebih menyeluruh dan turut melibatkan kawasan cerun di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Selain itu, kerajaan komited dalam memastikan kelancaran usaha-usaha pasca bencana dapat dilaksanakan dengan lancar antaranya aktiviti-aktiviti pembersihan, bekalan elektrik dan air, pembaikan pencawang elektrik dan menara telekomunikasi serta perkhidmatan pembentungan.

Pada masa sama, petugas di lapangan diseru untuk mengambil langkah yang perlu dalam memastikan tidak ada penularan wabak Covid-19 berlaku di dalam komuniti.

Malah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut diarah untuk mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah berikutan tanah runtuh di mana keadaan struktur bangunan sudah tidak selamat untuk didiami. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat