MCA reda cuma tanding 2 kerusi di Melaka, beri keyakinan akan terus bersama BN – Ka Siong

KUALA LUMPUR- MCA akur diberi peluang bertanding hanya dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Dua calonnya ialah seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden MCA selepas perbincangan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Katanya, MCA juga akan me­nggunakan logo BN selain memastikan gerak kerja disusun untuk mencapai kemenangan parti.

“Sebelum mesyuarat ini, saya turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada jam 12.30 tengah hari bagi membincangkan perkara berbangkit.

“Beliau telah memahami dan juga mendengar pandangan pihak MCA dan juga menghormati apa yang telah kami suarakan.

“Kami akan bertanding dua kerusi, ia tidak ada isu dan akan memulakan gerak kerja untuk kawasan ditandingi, selain pada sama kami membantu kawasan BN secara keseluruhan 21 kerusi,” katanya semasa sidang akhbar di Wisma MCA, menurut Utusan.

Ka Siong berkata, hubungan akrab antara Umno dan MCA sebagai parti tunjang BN amat penting dan akan diteruskan dalam PRN Melaka.

Katanya, MCA turut diberi jaminan bahawa representasi masyarakat Cina, khususnya melalui MCA tidak akan dipinggirkan dan akan terus berperanan.

“MCA secara ringkas saya rasa kami akan terus bersama BN. Apa yang berlaku itu telah berlaku dan ada hikmahnya.

“Kami nampak ada perkara-perkara yang boleh diperbaiki dan ada juga telah kami sampaikan untuk didengar Pengerusi BN (Ahmad Zahid) untuk tindakan susulan.

“Saya rasa setakat ini kami akan menumpukan perhatian tentang PRN Melaka dan kami telah diberi jaminan bahawa representasi masyarakat Cina khususnya MCA tidak akan dipinggirkan dan kami akan terus berperanan dengan cara yang mungkin perlu diatur dengan lebih baik,” katanya.

Ka Siong berkata, MCA sudah mempunyai satu kerangka bagi memastikan representasi parti itu, selain strategi untuk membuat penyesuaian dalam menghadapi PRN Melaka.

“Yang penting kena bentuk kerajaan dulu. Jadi satu perkembangan positif adalah kami telah melihat ada keperluan untuk kami pereratkan lagi serta kami melakukan perbincangan lebih khusus untuk kebaikan kita bersama.

“Pada waktu ini paling pen­ting adalah memastikan kita mengaturkan gerak kerja memastikan kemenangan buat parti kita,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat