Pemuda PAS Perlis nafi wujud pergolakan, gesa ‘orang luar’ lebih cermat beri kenyataan

- Advertisement -

KANGAR – Pemuda Pas Perlis memberi peringatan tegas agar individu luar yang mendakwa wujudnya perpecahan di dalam parti itu di negeri ini agar lebih cermat dan teliti dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ketuanya, Haziq Asyraf Dun menegaskan bahawa tiada sebarang pergolakan sedang berlaku dalam pentadbiran Pas negeri ketika ini seperti yang didakwa individu berkenaan.

Menurutnya, semua yang dinyatakan oleh individu terbabit berkemungkinan merupakan pendapat peribadi atas tujuan-tujuan yang tidak diketahui.

“Namun, sebagai seorang pimpinan di peringkat negeri, Pemuda Pas Perlis menasihati agar individu tersebut sentiasa cermat dan teliti dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak menguntungkan ‘rumah sendiri,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri Abu Bakar Hamzah mendakwa wujudnya perpecahan di dalam Pas negeri.

Abu Bakar mendedahkan perpecahan yang berlaku di dalam Pas Perlis ketika ini adalah membabitkan isu kefahaman agama, susun gerak kerja dan pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Menteri Besar merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd. Shukri Ramli menafikan perkara itu dan turut mengakui ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu di Perlis yang terus menerus mengkritik pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Dalam pada itu, Haziq berkata, sebarang perbezaan dan percanggahan pendapat di peringkat Pas merupakan urusan dalaman dan tidak melibatkan parti-parti lain.

“Kenyataan dikeluarkan oleh Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin yang menyatakan perbezaan atau permasalahan akan selesai dalam masa tidak sampai satu minggu secara jelas menunjukkan isyarat ia bukanlah satu pergolakan seperti digemburkan oleh individu tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Haziq berkata, Pemuda Pas juga menasihati agar setiap ahli dapat menjaga parti itu dan tidak terlalu melihat kepada perbezaan atau pertembungan pendapat dalam kalangan parti lain.

Tambahnya, Pemuda Pas juga sentiasa menjadi sebuah entiti yang terus mendokong hasrat kepimpinan parti itu dan kerajaan negeri Perlis.

“Setiap ahli parti kini juga sentiasa teguh dan berusaha kuat dalam membantu mengukuhkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat