Revolusi MPIC Di Bawah Kendalian Zuraida

- Advertisement -

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Mungkin jika kita membicarakan tentang sektor komoditi di Malaysia, kita akan membayangkan pepohon kelapa sawit dan tanam-tanaman lain yang terdapat di kampung halaman kita. Ataupun kita teringat tentang kempen-kempen yang kadangkala begitu “unik” seperti “Sayangi Sawitku” dan usaha untuk menggalakkan rakyat meminum sesudu sawit setiap hari oleh salah seorang mantan Menteri MPIC suatu ketika dahulu.

Bagi mereka yang membesar di kampung yang mempunyai ladang-ladang komoditi seperti sawit, getah kenaf dan lain-lain, sektor komoditi ini merupakan satu sektor yang amat penting, kerana ia bukan sahaja menjadi salah satu daripada penjana utama ekonomi negara, tetapi juga sebagai punca rezeki sebilangan besar masyarakat luar bandar di negara ini.

Oleh yang demikian, adalah besar harapan kita untuk melihat Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi Malaysia (MPIC) ditadbir olej pengurusan yang terbaik bagi memastikan sektor ini terus berkembang maju demi manfaat bersama yang dikongsi oleh kita semua rakyat Malaysia.

Seperti setiap perkara di dalam negara ini, sudah tentu, elemen pentadbiran politik memberikan kesan kepada setiap perkara. Semasa Pakatan Harapan memerintah Malaysia, MPIC dilihat terlalu fokus kepada isu-isu trivial dan tidak begitu efektif dalam menyelesaikan isu-isu pokok yang sedang meruncing di dalam sektor komoditi negara.

Mengambil contoh mudah, MPIC pada ketika itu begitu galak untuk mempromosikan penggunaan minyak sawit di dalam negara, sedangkan yang perlu dipromosikan adalah kepada negara luar dan bukannya kepada rakyat Malaysia sendiri yang boleh dikatakan hampir setiap isi rumah menggunakan minyak sawit sebagai bahan masakan utama.

Apabila Perikatan Nasional pula mengambil alih, kita dapat melihat sedikit demi sedikit, kestabilan mula dapat dirasakan oleh setiap secktor ekonomi, termasuk sektor perusahaan komoditi. Pujian harus diberikan kepada mantan Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Bin Aman Razali yang telah menerajui MPIC dengan baik.

Kini, setelah Perintah Kawalan Pergerakan dimansuhkan dan ekonomi negara sudah rancak semula, kita melihat perlunya ada satu pencetus baharu kepada sektor ini supaya dapat membina daya saing yang ampuh untuk kembali menerajui sektor komoditi bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi juga di seluruh Asia.

Pemilihan YB Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri MPIC yang baharu merupakan satu pilihan yang amat tepat. Kerana cara pimpinan beliau yang “versatile” dan progresif sudah tentu akan dapat membawa sektor ini mercu yang lebih tinggi.

Melihat perkembangan MPIC setelah beliau dilantik menjadi menteri, terlalu banyak inisiatif-inisiatif dan polisi baharu yang dilaksanakan bagi memastikan Malaysia berupaya untuk menjadi peneraju industri komoditi di rantau ini.

Mungkin terlalu banyak untuk dituliskan di sini, oleh yang demikian, penulis akan menyenaraikan 5 inisiatif utama yang telahpun diperkenalkan oleh YB Datuk Hajah Zuraida yang dilihat sebagai “game changer” bagi meningkatkan keupayaan sektor komoditi Malaysia.

1. Ekonomi Sirkular (Circular Economy)
Sudah tentu bagi sektor ekonomi yang berasaskan perladangan, pengurusan bahan buangan (waste management) merupakan satu cabaran yang amat besar kepada industri ini. Oleh yang demikian YB Datuk Hajah Zuraida telah memperkenalkan konsep ekonomi sirkular yang menekankan pengunaan semula bahan terbuang bagi menjadikan produk yang boleh dipasarkan bagi kegunaan yang berbeza.
Sebagai contoh, bahan terbuang daripada pemprosesan kelapa sawit boleh dijadikan sebagai sumber tenaga biomas yang boleh mendatangkan keuntungan dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

2. Penggunaan “Big Data”
Menginjak kepada Revolusi Industri 4.0, penggunaan teknologi seperti IOT dan big data merupakan satu kemestian di dalam pengurusan apa jua industri. YB Datuk Hajah Zuraida telah memperkenalkan inisiatif ini bagi memastikan maklumat terangkum dari pihak kerajaan, peladang, pengilang dan pengguna akan dapat disatukan sekaligus dapat digunapakai untuk merencana pembangunan sektor komoditi dengan lebih komprehensif dan efisyen.

3. Kenaf-based IBS Technology
Dengan pengalaman beliau yang terdahulu sebagai Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Datuk Hajah Zuraida turut membawa iltizam tersebut dengan usaha beliau untuk memperkenalkan penggunaan produk daripada tanaman Kenaf sebagai bahan binaan.

Kajian turut telah membuktikan bahawa bahan binaan yang dibuat dariada tumbuhan Kenaf adalah lebih murah, selamat dan juga kukuh berbanding bahan binaan konvensional.

4. Pemasaran Agresif Bagi Produk Sawit
Sepertimana yang kita ketahui, produk sawit amat tidak popular di Barat. Malah ada negara-negara tertentu yang telah mengharamkan penjualan sawit di negara mereka. Media barat juga memainkan peranan dengan menyebarkan berita palsu mengenai produk sawit, yang mengatakan bahawa perladangan industri sawit telah menyebabkan kemusnahan hutan dan habitat haiwan. Sedangkan hal sebenarnya adalah, negara-negara ini ingin menyekat produk sawit Malaysia yang lebih berkualiti berbanding produk sedia ada di negara mereka.

Sebelum ini, Malaysia telah menggunakan kos yang amat banyak untuk menarik semula minat negara barat kepada produk sawit negara ini. Namun, usaha itu merupakan suatu perkara yang sia-sia kerana kita masih lagi gagal untuk menembusi pasaran mereka.

Melihat perkara ini, YB Datuk Hajah Zuraida dengan berani telah menukar fokus dari negara-negara Eropah kepada negara Asia yang mempunyai penduduk yang lebih ramai. Tidak lagi mengharapkan EU dan USA sebagai pasaran sasaran, beliau dengan lebih realistik membawa fokus pemasaran produk sawit negara kepada negara seperti China, India, Jepun dan lain-lain.

Anjakan paradigma ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan kerana sampai bila kita mahu mengharapkan negara barat untuk menyokong kita, sedangkan negara-negara Asia sendiri adalah pasaran yang lebih luas dengan kapisiti pengguna yang lebih besar.

5. Cadangan Pelaksanaan Semula TSPKS

Kita tidak boleh menafikan, Covid-19 telah mendatangkan impak yang negatif kepada industri perusahaan komoditi negara. Paling teruk terkesan adalah para pekebun kecil yang mengusahakan tanaman komoditi di seluruh negara. Oleh yang demikian, YB Datuk Hajah Zuraida telah mencadangkan untuk mewujudkan semula Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil (TSPKS) bagi membantu golongan ini kembali bangkit dari kepayahan yang ditanggung selama tempoh PKP.

Apa yang lebih baik lagi adalah apabila cadangan beliau ini bukanlah untuk menjadikan TSPKS sebagai pinjaman seperti dahulu, tetapi ianya akan diberikan dalam bentuk geran.

MPIC Di Mata Dunia

Melihat perkembangan MPIC di bawah kendalian YB Datuk Hajah Zuraida, penulis yakin bahawa sektor komoditi negara bakal menyaksikan satu revolusi yang akan meningkatkan lagi keupayaan negara ini untuk menjadi pelopor kepada penghasilan produk-produk komoditi yang akan menjadi tumpuan dunia.

Penulis juga yakin, dengan pengalaman, visi dan misi beliau yang cukup dinamis, YB Datuk Hajah Zuraida telah mencetuskan revolusi di dalam industri ini, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hub komoditi di rantau Asia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat