Jangan gertak kami untuk kerjasama politik – MKT UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO memberi isyarat tegas bahawa sebarang rundingan dengan parti politik lain bagi menghadapi pilihan raya akan datang mesti berasaskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya melalui tekanan atau gertakan.

Ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung malam tadi, ketika perbincangan mengenai bentuk kerjasama politik parti itu menjelang pilihan raya akan datang semakin mendapat perhatian.

“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

MKT pada masa sama memberi lampu hijau kepada kepimpinan UMNO negeri untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Keputusan itu membuka ruang kepada kepimpinan UMNO di peringkat negeri untuk menilai bentuk kerjasama politik berdasarkan keperluan dan realiti setempat.

Dalam kenyataan sama, UMNO turut mengambil maklum dapatan pelbagai kajian empirikal oleh agensi dan penyelidik akademik yang menurut parti itu menunjukkan terdapat sentimen dalam kalangan orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan.

UMNO berkata, kepentingan keindukan Melayu juga dilihat terus menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

Perkembangan itu dilihat signifikan apabila MKT turut bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 12 September ini.

Menurut Asyraf Wajdi, jemputan itu merupakan tanda penghormatan dan sebagai membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS.

Dalam isu tindakan undang-undang membabitkan pemimpin politik pula, MKT menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dihormati dan dijunjung.

UMNO menegaskan seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.

Parti itu turut berpandangan tindakan memalukan atau mengaibkan seseorang sehingga mewujudkan persepsi bahawa individu yang baru ditahan untuk tujuan siasatan telah bersalah adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah dan kedaulatan undang-undang.

Bagaimanapun, UMNO menegaskan ia tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan termasuk jika membabitkan ahli serta kepimpinan parti yang wajar berhadapan proses undang-undang.

Mesyuarat MKT berkenaan berlangsung pada 28 Ogos 2026 dan turut menyaksikan pelantikan serta upacara angkat sumpah Datuk Ismail Lasim sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat