PORT DICKSON – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan merangkul manifesto kedua-dua gabungan sekiranya diberikan mandat untuk memerintah Negeri Sembilan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak timbul sebarang masalah antara BN dan PN dalam melaksanakan manifesto meskipun berbeza kandungannya.
“Kita (BN-PN) tidak ada perjanjian. Kita tidak ada kerjasama secara rasmi. Kita cuma ada persefahaman.
“Ertinya, manifesto BN adalah untuk BN, dan kita akan laksanakan jika mandat dapat diberikan semula nanti.
“… dan tentunya kita akan rangkul sekali apa yang tersurat dan tersirat daripada rakan-rakan yang lain.
“Saya fikir tidak ada sebarang permasalahan yang timbul jika pelaksanaannya dibuat kerana kita merangkumi semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan.
“BN-PN akan menggabungkan usaha kami dan kami merasakan tiada perbezaan antara mereka (PN) dengan kami (BN), dan saya berpendapat kami mampu bekerjasama,” ujar Timbalan Perdana Menteri itu ketika ditemui media di DUN Chuah pada Rabu.
Zahid yang juga Presiden Umno itu berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan adalah aneh apabila BN dan PN melancarkan manifesto berbeza meskipun membentuk pakatan bersama.


