Kerjasama BN-PN Dijangka Diteruskan Dalam Pentadbiran Negeri Jika Diberi Mandat – Jalaluddin

SEREMBAN — Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar persefahaman bagi menghadapi pilihan raya, malah dijangka diteruskan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya gabungan itu memperoleh mandat rakyat.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, persefahaman itu merupakan satu pendekatan strategik yang dibuat bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua gabungan di kesemua 36 kerusi DUN.

“Sebenarnya perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa. Pada PRN 2023, Barisan Nasional pernah mengadakan electoral pact atau persefahaman politik bersama Pakatan Harapan.

“Kali ini kita membuat keputusan untuk tidak meneruskan persefahaman itu dan memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional. Ia merupakan persefahaman pilihan raya supaya kita tidak bertembung di semua 36 DUN.

“Apabila tidak berlaku pertembungan, ia mengelakkan pecahan undi khususnya dalam kalangan pengundi teras. Pada masa sama, ia memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa gabungan ini mampu menguruskan kerajaan negeri dengan lebih teratur, merangkumi kepentingan orang Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual khas Mandat Negeri Sembilan terbitan Suara TV hari ini.

Menurut Jalaluddin, persefahaman itu bukan sekadar strategi pilihan raya, malah menjadi asas kepada sebuah pentadbiran yang lebih stabil sekiranya BN dan PN diberi peluang membentuk kerajaan selepas 1 Ogos nanti.

Jelasnya, walaupun kedua-dua gabungan bukan berada dalam satu parti yang sama, kerjasama tersebut dibina atas persefahaman yang jelas demi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Apabila kita berjaya diberi mandat oleh pengundi untuk menubuhkan kerajaan pada 1 Ogos nanti, tentunya dari sudut kefahaman biasa bentuk kerjasama ini akan diteruskan dalam urus tadbir kerajaan negeri. Cuma kita bukan berada dalam satu komponen parti yang sama, tetapi ia lebih kepada satu persefahaman dengan Perikatan Nasional.

“Apa yang penting ialah rakyat mendapat sebuah kerajaan yang stabil dan mampu melaksanakan apa yang dirancang untuk masa depan Negeri Sembilan.

“Sebab itu kita melihat kerjasama ini sebagai satu landasan untuk memastikan segala perancangan pembangunan dapat diterjemahkan dengan sokongan penuh daripada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama BN ketika ini adalah memastikan seluruh jentera terus bekerja sehingga hari terakhir kempen bagi meyakinkan pengundi bahawa kerjasama tersebut mampu menawarkan pentadbiran yang lebih kukuh berbanding kerajaan sedia ada.

Jalaluddin turut menyifatkan persefahaman itu sebagai antara faktor penting yang boleh mengubah landskap politik Negeri Sembilan kerana ia menghimpunkan kekuatan kedua-dua gabungan tanpa berlaku pertandingan sesama sendiri, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk menentukan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat