KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mencadangkan audit forensik dilaksanakan terhadap 14 pelaburan utama yang dikenal pasti mengalami penurunan nilai aset yang serius, selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang salah laku yang dikesan.
Dalam laporannya, Suruhanjaya berpandangan bahawa kemerosotan prestasi beberapa pelaburan bukan sekadar berpunca daripada faktor pasaran, malah mendedahkan kelemahan dalam proses membuat keputusan, tadbir urus dan pemantauan pelaburan.
Suruhanjaya turut menyatakan bahawa keputusan pelaburan pada ketika itu banyak bergantung kepada cadangan yang dikemukakan pihak pengurusan tanpa semakan mencukupi oleh Panel Pelaburan.
Lebih membimbangkan, Menteri yang membuat keputusan berkaitan pelaburan juga didapati bergantung sepenuhnya kepada memorandum yang disediakan oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji, manakala semua Menteri yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya mengakui mereka tidak mempunyai nasihat bebas daripada pihak ketiga sebelum meluluskan cadangan berkenaan.
Sehubungan itu, Suruhanjaya mengesyorkan audit forensik dilaksanakan bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan lampau dibuat sehingga menyebabkan penurunan nilai aset yang ketara.
Antara pelaburan yang disenaraikan ialah PT TH Indo Plantations, Emrail Sdn Bhd, Wellspring Worldwide Limited, Deru Semangat Sdn Bhd, Trurich Resources Sdn Bhd, Abraj Sdn Bhd, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd., Alfareeda Residential Fund, TH Plantations Berhad, TH Properties Sdn Bhd, Alam Maritim Resources atau TH Marine, TH Hotel & Residences Sdn Bhd serta FGV Berhad.
Kerugian besar dalam beberapa pelaburan
Laporan itu turut menghuraikan impak kewangan yang ditanggung Tabung Haji dalam beberapa pelaburan berprofil tinggi.
Bagi pelaburan dalam FGV Berhad, Suruhanjaya merekodkan bahawa Tabung Haji berpotensi menanggung kerugian melebihi RM1 bilion apabila harga saham syarikat itu merosot dengan ketara selepas penyenaraian.
Suruhanjaya turut mempersoalkan mengapa pegangan saham tersebut terus dikekalkan walaupun nilainya semakin susut sehingga menyebabkan kerugian tidak nyata meningkat.
Dalam pelaburan Putrajaya Perdana Berhad, Tabung Haji merekodkan rosot nilai (impairment loss) sebanyak RM145.3 juta, manakala nilai buku bersih pelaburan syarikat itu merosot kepada sekitar RM48.2 juta.
Pelaburan dalam Trurich Resources Sdn Bhd pula menyaksikan keseluruhan pelaburan berjumlah RM364.31 juta dirosot nilai sepenuhnya selepas syarikat usaha sama itu menjadi insolven.
Bagi Deru Semangat Sdn Bhd, Suruhanjaya mendapati pelaburan dan pembiayaan berjumlah RM257 juta telah merosot nilainya kepada sekitar RM32 juta, walaupun akhirnya Tabung Haji berjaya merundingkan penyelesaian bagi mengurangkan komitmen pelaburan selanjutnya.
Sementara itu, pelaburan dalam Abraj Sdn Bhd menyebabkan Tabung Haji merekodkan kerugian rosot nilai sekitar RM40.25 juta sebelum pegangan sahamnya dijual kepada rakan usaha sama.
Di Arab Saudi, pelaburan dalam Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd. pula dikaitkan dengan tunggakan bayaran sewa hotel yang tinggi sehingga Tabung Haji memfailkan beberapa tindakan undang-undang dan prosiding timbang tara.
Laporan itu menyatakan transaksi tersebut dijangka menyebabkan kerugian kredit mencecah lebih RM202 juta, selain kemungkinan rosot nilai tambahan sekitar RM184 juta berdasarkan penilaian awal.
Bagi Alfareeda Residential Fund, keseluruhan pelaburan Tabung Haji dalam dana hartanah itu akhirnya dihapus kira selepas tiada perkembangan terhadap pelaburan berkenaan selama beberapa tahun.
Bonus dan tadbir urus turut disentuh
Selain pelaburan, Suruhanjaya turut memberi perhatian terhadap isu tadbir urus korporat.
Laporan itu mencadangkan amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan dihentikan, selain mengesyorkan usaha mendapatkan semula bonus yang dibayar kepada ahli lembaga serta pengurusan TH Properties kerana didakwa tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Suruhanjaya juga mengesyorkan penyata kewangan Tabung Haji diaudit oleh firma audit swasta dan bukannya lagi oleh Jabatan Audit Negara, selain menegaskan pengiraan hibah hendaklah berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit, bukannya laporan proforma.
Dalam masa sama, Suruhanjaya menegaskan penyata kewangan Tabung Haji perlu mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan dan garis panduan yang berkuat kuasa.
Semua yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan
Mengakhiri penilaiannya, Suruhanjaya berpandangan bahawa setiap anggota Lembaga, lembaga pengarah anak syarikat, pengurusan dan kakitangan yang terlibat dengan keputusan pelaburan sehingga menyebabkan kerugian kepada Tabung Haji hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut peranan masing-masing.
Pada masa sama, Suruhanjaya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap setiap laporan polis atau aduan berkaitan salah laku di Tabung Haji, di samping memastikan semua prosiding mahkamah dan timbang tara yang masih berjalan dipantau rapi supaya kepentingan pendeposit dapat dipelihara serta kerugian dapat diminimumkan.



