NILAI – Presiden Parti BERJASA yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan hubungan persahabatannya dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal baik sehingga hari ini meskipun kedua-duanya tidak berada dalam parti politik yang sama.
Kenyataan itu dibuat ketika ditemu bual Suara TV bersempena PRN Negeri Sembilan hari ini, susulan dakwaan bahawa Hamzah pernah berhasrat menyertai BERJASA dan spekulasi kononnya beliau bakal mengambil alih parti itu, yang telah dinafikan BERJASA menerusi satu kenyataan rasmi.
“Sebenarnya, Datuk Seri Hamzah sudah lama saya kenali. Kami memang berkawan rapat dan hubungan kami sangat baik. Kalau saya hendak berjumpa beliau, saya boleh berjumpa, dan kalau beliau hendak berjumpa saya pun begitu. Hubungan kami memang baik.
“Apabila beliau dipecat daripada Bersatu, beliau menghubungi saya untuk menawarkan dirinya serta beberapa Ahli Parlimen yang bersama beliau menyertai BERJASA. Saya kata, tidak ada masalah kerana BERJASA merupakan sebuah parti yang terbuka. Namun, perkara itu perlu dibincangkan oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut Zamani, beberapa siri rundingan kemudian diadakan antara kedua-dua pihak bagi meneliti kesesuaian kerjasama berdasarkan syarat dan kehendak yang dikemukakan oleh masing-masing.
Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan oleh BERJASA ketika itu ialah menawarkan jawatan Timbalan Presiden kepada Hamzah yang pada masa itu merupakan Ketua Pembangkang.
“Saya telah mengemukakan syarat dan kehendak daripada pihak BERJASA, manakala beliau juga mempunyai syarat dan kehendaknya sendiri.
“Antaranya, ketika itu beliau merupakan Ketua Pembangkang dan cadangan daripada pihak saya ialah beliau menjadi Timbalan Presiden BERJASA. Ada beberapa perkara lain juga yang dibincangkan.
“Perbincangan antara kedua-dua pasukan berlangsung beberapa kali. Ada perkara yang dapat dipersetujui dan diuruskan, tetapi ada juga perkara yang sukar mencapai persetujuan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk tidak meneruskan rundingan selepas gagal mencapai persetujuan dalam beberapa perkara, namun keputusan itu tidak pernah menjejaskan hubungan persahabatan mereka.
“Akhirnya, saya dan Datuk Seri Hamzah sama-sama bersetuju untuk tidak meneruskan perbincangan itu ke peringkat seterusnya. Beliau sendiri memaklumkan kepada saya bahawa selain BERJASA, beliau mempunyai beberapa pilihan lain. Katanya, BERJASA ialah salah satu daripada beberapa pelan yang telah beliau susun.
“Saya juga pernah beritahu beliau, walaupun kita tidak dapat bersama dalam parti yang sama, persahabatan yang telah lama terjalin tetap akan diteruskan. Itulah sebenarnya yang berlaku. Saya percaya beliau juga memahami perkara itu kerana keputusan tersebut dibuat secara bersama,” katanya.



