Pas ada ramai pemimpin layak jadi PM, beri kuasa dulu baru umum – Mursyidul Am Pas

KUALA LUMPUR – Pas mempunyai ramai pemimpin yang layak diketengahkan sebagai Perdana Menteri apabila parti itu dan Perikatan Nasional (PN) diberi kepercayaan memerintah negara sama ada dalam masa terdekat atau selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun, siapa calon dari PN yang layak diketengahkan sebagai Perdana Menteri itu akan ditentukan selepas mendapat kuasa terlebih dahulu.

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata, buat masa ini, Pas tidak akan mengetengahkan terlebih dahulu siapa ‘poster boy’ daripada parti itu, lapor Utusan di Kangar.

Hashim percaya, Pas dan PN akan memerintah jauh lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

“Kita ambil contoh pada tahun 1990 apabila Pas berjaya merampas Kelantan, kita pilih Nik Aziz (Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat). Pada masa itu, tidak ada siapa yang yakin kemampuan Nik Aziz.

“Namun, kita lihat selepas itu, bagaimana Nik Aziz berjaya mengetuai kerajaan lebih 22 tahun dengan pencapaian yang cukup baik dan pelbagai perubahan dilakukan di Kelantan khususnya dalam menegakkan syiar Islam.

“Bukan profesional sahaja yang layak diketengahkan, sebaliknya ulama juga mampu mengetuai kerajaan dengan cukup baik. Sama juga seperti sekarang, memang tidak nampak lagi ‘poster boy’ tapi beri kuasa dulu, kita ketengahkan calon dan memerintah jauh le­bih baik daripada kerajaan sekarang,” katanya kepada akhbar itu.

Gabungan pembangkang yang mengadakan Himpunan Turun Anwar di ibu negara Sabtu lalu diminta menamakan calon pengganti jika Anwar ‘turun’ sebagai Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Anwar turut sekali lagi mencabar pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat jika benar-benar mahu menolak kepimpinannya.

Menurut Perdana Menteri, isu itu bukan kali pertama dibangkitkan pembangkang khususnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan konkrit dilakukan.

Himpunan Sabtu lalu didakwa oleh penganjur mencatatkan kehadiran mencecah 500,000 orang, manakala polis menganggarkan jumlah sebenar hanyalah sekitar 18,000 orang.

Mengulas himpunan tersebut, Hashim berkata, kehadiran ratusan ribu pada perhimpunan tersebut memberi isyarat jelas bahawa rakyat sudah menolak kepemimpinan Anwar.

“Meskipun himpunan tersebut tidak menjatuhkan kerajaan namun ia menjadi isyarat jelas rakyat sudah cukup terkesan dengan kos sara hidup, cukai dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Kehadiran yang cukup ramai itu juga sedikit sebanyak telah menjatuhkan imej kerajaan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat